Sabtu, 1 Oktober 2022 | 8:56pm
Keadaan kesihatan kini Azhar semakin baik dan dijangka dibenarkan keluar wad pada minggu hadapan. - Foto ihsan Norul Hanim Mohamad
Keadaan kesihatan kini Azhar semakin baik dan dijangka dibenarkan keluar wad pada minggu hadapan. - Foto ihsan Norul Hanim Mohamad

Azhar makin pulih, namun bil hospital cecah RM235,000

KUALA LUMPUR: Selepas sebulan dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk (CBNUH), Korea Selatan akibat angin ahmar, rakyat Malaysia, Azhar Mohamad dijangka dibenarkan keluar wad minggu hadapan.

Adiknya, Norul Hanim, 34, berkata jangkaan itu selepas pakar di hospital berkenaan melihat keadaan abangnya yang semakin baik.

Beliau berkata, berita itu sangat menggembirakan keluarga mereka yang tidak henti berharap dan berdoa supaya Azhar, 37, kembali pulih seperti sedia kala.

Bagaimanapun, Norul Hanim berkata, mereka runsing memikirkan cara untuk menjelaskan bil hospital yang sehingga kini mencecah RM235,000.

"Melihat perkembangannya yang positif kami minta pertimbangan pihak hospital untuk beri kebenaran abang keluar wad dan hasil perbincangan dengan pakar, mereka bersetuju (abang dikeluarkan).

"Cuma, kami baru membayar RM122,000, boleh dikatakan baru separuh daripada bil perubatan yang kemungkinan mencecah RM260,000 sehingga minggu depan, jadi memerlukan kira-kira RM150,000 lagi.

"Itu pun belum termasuk kos tiket penerbangan pulang ke tanah air," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, Azhar sudah tidak lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan, namun masih menggunakan tiub untuk minum susu dan belum boleh makan.

"Ikutkan hospital benarkan abang keluar wad minggu hadapan, cuma surat rasmi masih dalam proses. Abang perlu menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) terlebih dulu (sebelum keluar wad).

"Kami sedang dapatkan bantuan pihak kedutaan (Malaysia) untuk bantu urus dan proses dokumen diperlukan, cuma masalah lebih besar adalah dana yang tidak mencukupi," katanya yang memberitahu tidak banyak menerima sumbangan.

Keluarga Azhar juga berharap, ada pihak yang bermurah hati menaja tiket penerbangan untuknya pulang ke tanah air.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulur sumbangan ke akaun CIMB 7004842439 atas nama Norul Hanim Mohamad atau menghubunginya di talian 019-9772133.

Kisah Azhar yang berasal dari Kuantan, Pahang pernah dilapor media apabila dia ditemui separa sedar di rumah sewanya di Seoul pada 31 Ogos lalu dan dimasukkan ke hospital.

Berita Harian X