Isnin, 12 September 2022 | 9:41pm
Dr Noor Azmi (kanan) beramah mesra dengan penderma darah pada majlis Kempen Derma Darah Seluruh Negara dan Kesedaran Kesihatan 2022 hari ini. NSTP/ROHANIS SHUKRI
Dr Noor Azmi (kanan) beramah mesra dengan penderma darah pada majlis Kempen Derma Darah Seluruh Negara dan Kesedaran Kesihatan 2022 hari ini. NSTP/ROHANIS SHUKRI

KKM pastikan stok bekalan darah mencukupi

KUALA LUMPUR: Usaha berterusan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi pelbagai kempen dan program bagi memastikan Pusat Darah Negara (PDN) dan Tabung Darah tidak mengalami kekurangan stok bekalan darah.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata negara memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah setiap hari bagi memastikan bekalan mencukupi untuk keperluan pesakit.

"Malah di Lembah Klang sendiri memerlukan antara 500 hingga 600 beg sehari kerana banyak kes yang memerlukan darah.

"Bekalan darah di PDN memang mencukupi, cuma perlu ditambah setiap masa kerana ada proses 'keluar masuk' bagi kegunaan pesakit seperti kemalangan dan untuk pembedahan yang menggunakan banyak darah, selain bagi merawat pesakit leukemia, barah, jantung dan hati.

"Berikutan itu, KKM sentiasa menggalakkan rakyat untuk menderma darah, memperbanyakkan lagi program dengan kerjasama pihak swasta kerana asasnya ialah supaya kita dapat menyelamatkan nyawa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Kempen Derma Darah Seluruh Negara dan Kesedaran Kesihatan 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lalu yang memaklumkan PDN dan Tabung Darah ketika ini berdepan kekurangan stok bekalan darah di seluruh negara dan pada masa sama permintaan dilaporkan terus meningkat.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai menderma darah secara berkala, sekali gus menjadikannya satu budaya hidup yang sihat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, KKM juga sentiasa mengemaskini keperluan bekalan mengikut kumpulan darah diperlukan.

"Macam sekarang ini kumpulan darah yang sedikit berkurangan ialah O negatif, jadi kita minta individu dengan jenis darah ini tampil menderma," katanya.

Menyentuh kempen diadakan, beliau berkata, program tahunan anjuran Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) itu membabitkan 16 syarikat insurans hayat di Malaysia dan 12 cawangan Persatuan Penasihat Insurans Hayat dan Takaful Keluarga Malaysia (NAMLIFA).

"Lebih 40 lokasi seluruh negara dipilih bagi menjalankan kempen ini bermula hari ini hingga 31 Oktober.

"Kempen yang berlangsung selama satu setengah bulan ini diharap mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai bagi membantu lebih ramai Keluarga Malaysia yang memerlukan darah," katanya.

Berita Harian X