Isnin, 12 September 2022 | 1:54pm
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid bersama Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman pada Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PTPTN dan PPZ-MAIWP sambil disaksikan Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid bersama Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman pada Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PTPTN dan PPZ-MAIWP sambil disaksikan Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Kerjasama PPZ-MAIWP, PTPTN tingkat kesedaran bayar zakat

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

MoU itu antara lain bagi kerjasama menjalankan program kesedaran mengenai kepentingan membayar zakat dan penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dalam kalangan ibu bapa atau penjaga, remaja dan kanak-kanak Islam di Wilayah Persekutuan.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata kerjasama strategik ini bertujuan menggalakkan pembayar zakat PPZ-MAIWP dan pendeposit akaun Simpan SSPN Prime mendidik anak-anak mereka mengenai kewajipan membayar zakat.

"Di samping meningkatkan tahap kesedaran menabung bagi tujuan pendidikan serta mengoptimumkan potensi dan keberhasilan zakat merangkumi aspek kutipan, pengurusan zakat wakalah dan agihan zakat," katanya pada majlis itu di sini. Turut hadir Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff.

Pada majlis MoU itu, PPZ-MAIWP diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman, manakala PTPTN diwakili Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Abdul Aziz berkata, PPZ-MAIWP tidak mungkin mampu untuk meningkatkan kutipan zakat saban tahun tanpa sokongan kerajaan dan swasta.

"MoU ini bukan sekadar permulaan strategik antara dua organisasi tetapi sebagai pendorong kepada lebih banyak pembabitan kerjasama pada masa akan datang.

"Penyatuan kepakaran yang dimiliki setiap pihak mampu memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.

Sementara itu, Apli berkata, menjadi misi utama PTPTN untuk mengajak masyarakat memulakan simpanan seawal usia, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

Beliau berkata, kerjasama dengan PPZ-MAIWP dilihat sangat tepat pada masanya sebagai satu usaha proaktif PTPTN untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penabungan demi masa depan pendidikan yang terjamin.

"Kerjasama strategik dilaksanakan bersama PPZ-MAIWP ini diharapkan dapat membantu masyarakat khususnya pembayar zakat di Wilayah Persekutuan untuk mempunyai pengurusan kewangan yang baik menerusi tabungan awal dalam Simpan SSPN Prime demi masa depan pendidikan anak yang lebih terjamin," katanya.

Pelancaran Kempen Skim Didik Zakat & Simpan SSPN Prime (DZAS).
Pelancaran Kempen Skim Didik Zakat & Simpan SSPN Prime (DZAS).

Pada majlis itu, turut diadakan Pelancaran Kempen Skim Didik Zakat & Simpan SSPN Prime (DZAS) yang berlangsung selama setahun, bermula 1 September 2022 hingga 31 Ogos 2023 tertakluk kepada 5,000 peserta terawal.

Kempen itu terbuka kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak berumur 15 tahun ke bawah dan perlu menunaikan zakat harta mengikut kadar sebenar jumlah taksiran atau membayar serendah RM100 setiap seorang di PPZ-MAIWP dalam tempoh kempen berlangsung.

Peserta akan menerima insentif sumbangan pendidikan PPZ-MAIWP bernilai RM100 seorang setiap tiga tahun dan didepositkan terus ke akaun Simpan SSPN Prime sehingga anak (penerima manfaat) berumur 18 tahun dengan syarat akaun itu tidak ditutup sehingga anak peserta Skim DZAS mencapai umur itu.

Selain itu, PPZ-MAIWP dan PTPTN menaja pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime berjumlah RM20 setiap peserta bagi 3,000 peserta terawal.

Sumbangan Skim Kafalah Muzakki (khairat kematian) sehingga RM3,000 kepada waris sekiranya kematian peserta dan lain-lain keistimewaan yang disediakan oleh PPZ-MAIWP dan PTPTN untuk pendeposit Akaun Simpan SSPN Prime.

Untuk menyertai kempen, pelanggan hanya perlu mengisi borang penyertaan Skim DZAS secara dalam talian di dzas.zakat.com.my.

Berita Harian X