Khamis, 8 September 2022 | 6:36pm

Kenakan hukuman lebih tegas banteras pornografi kanak-kanak

SHAH ALAM: Kerajaan digesa segera menggubal ataupun meminda undang-undang berkaitan bagi membolehkan hukuman lebih tegas dikenakan untuk membanteras perbuatan menonton serta berkongsi pornografi kanak-kanak di negara ini.

Parti Bangsa Malaysia (PBM) ketika menegaskan perkara itu menyifatkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan 106,764 alamat Protokol Internet (IP) berdaftar di negara ini dikesan membuat perkongsian kandungan lucah membabitkan golongan kanak-kanak, sebagai sangat membimbangkan dan memerlukan perhatian segera daripada kerajaan serta pihak berkuasa.

Ketua Pemuda PBM, Na'im Brundage, berkata kanak-kanak merupakan antara golongan paling terdedah, justeru usaha harus dilakukan untuk melindungi mereka dengan pembabitan semua pihak, terutama ibu bapa, guru serta agensi penguat kuasa.

"Pornografi kanak-kanak boleh mendorong kepada pelbagai masalah lain, termasuk ketagihan seks yang akan meletakkan setiap kanak-kanak dalam bahaya. Ia juga mendatangkan banyak implikasi negatif dan boleh menyebabkan pelakunya menjadi lebih agresif serta mengalami tekanan.

"Ini berdasarkan hasil kajian yang menunjukkan walaupun hanya tiga jam seminggu dihabiskan dengan menonton pornografi, ketagihan itu boleh menyebabkan kerosakan ketara pada bahagian utama otak manusia. Apabila membabitkan saraf otak, ia akan memberi kesan terhadap perlakuan dan 'mood' seseorang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Na'im berkata, ledakan teknologi maklumat (IT) menyaksikan Internet dipenuhi pelbagai bahan pornografi, dengan sekurang-kurang lebih 500,000 laman sesawang dan 370 juta laman atau 'pages' dilaporkan berada dalam laman maya kini.

Malah, beliau berkata, terdapat laporan bahawa pada setiap saat, lebih 30,000 pengguna Internet melayari laman pornografi, manakala 68 juta pengguna lagi melakukan carian bahan lucah setiap hari.

"Pornografi dalam Internet sangat mudah diakses, murah dan identiti penggunanya tidak terdedah kerana terlindung di sebalik media sosial, e-mel dan aplikasi mudah alih.

"Bagi menangani isu ini, ia memerlukan kerjasama semua pihak kerana usaha membanteras dan menghentikan perbuatan menonton serta berkongsi pornografi kanak-kanak tidak boleh diserahkan dan dibebankan kepada pihak berkuasa semata-mata.

"Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam membimbing dan mendidik anak-anak mengenai bahaya pornografi," katanya.

Mengulas lanjut, Na'im berkata, individu yang ketagihan tabiat tidak bermanfaat itu perlu tampil mendapatkan bantuan berkaitan kerana ia juga seperti ketagihan lain yang masih boleh dirawat dan dipulihkan.

"PBM juga meminta kerajaan memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) serta Unit Siasatan Jenayah Terhadap Kanak-Kanak (MICAC) PDRM bagi membolehkan kedua-dua entiti pihak berkuasa ini memainkan peranan lebih berkesan dalam menangani jenayah membabitkan kanak-kanak.

"Kita perlu bertindak sebelum terlambat kerana berdasarkan maklumat diperoleh D11, aktiviti melayari Internet, termasuk memuat naik dan memuat turun bahan pornografi kanak-kanak di negara ini semakin meningkat saban tahun.

"Segala usaha perlu digerakkan. Selain mengadakan lebih banyak kempen dan program kesedaran, PBM berpandangan undang-undang berkaitan jenayah pornografi juga perlu diperkasakan dengan memperuntukkan hukuman lebih tegas terhadap pesalah," katanya.

Berita Harian X