Khamis, 1 September 2022 | 7:43pm
Idris (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Kampung Air Kuning, Cangkat Jering. - NSTP/ SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Idris (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Kampung Air Kuning, Cangkat Jering. - NSTP/ SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

JAKIM hantar pasukan audit halal ke Australia bulan ini

TAIPING: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menghantar pasukan ke Australia bulan ini bagi melakukan pengesahan audit halal di loji sembelihan Thomas Foods Industries (TFI) yang membekalkan daging ke Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata ia susulan pengesahan oleh Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) bahawa berlaku pelanggaran protokol halal dalam proses penyembelihan.

"Kita tidak boleh senyap berkaitan bab halal dan haram ini. Tidak munasabah bagi pihak JAKIM untuk tidak bertindak kerana piawaian bagi mendapatkan pengesahan halal adalah ketat dan dipandang tinggi oleh orang ramai.

"Pada September ini, pasukan audit dari Jakim akan ke sana bagi menjalankan tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 136 mangsa banjir di sekitar Taiping, antaranya Taman Seri Kota Fasa Dua, Kampung Sempadan, Kampung Air Kuning dan Taman Kuning Sari di sini hari ini.

Pada 13 Mei lalu, kelulusan penyembelihan diberikan kepada syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal, digantung serta-merta sehingga suatu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Ia susulan status halal rumah penyembelihan itu yang diragui apabila prosedur didakwa tidak mengikut syariat Islam berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

Sementara itu, Idris berkata isu seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama negeri.

"Seperti yang kita tahu, wanita terbabit telah pulang dari mengerjakan umrah, namun kami masih belum mendapatkan maklumat bagi mengesannya.

"Pejabat agama di negeri wanita itu tinggal akan memanggilnya apabila kami dapat maklumat," katanya.

Pada 12 Ogos lalu, tular menerusi media sosial mengenai wanita berkenaan berada di Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.

Wanita itu kemudian disahkan ke Tanah Suci menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi umrah.

Berita Harian X