Jumaat, 30 September 2022 | 3:03pm
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

MySejahtera rekod lebih 250,000 individu disaring untuk penyakit tidak berjangkit

KUALA LUMPUR: Seramai 252,767 individu disaring untuk penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh negara setakat semalam berdasarkan jumlah saringan yang direkodkan aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata daripada jumlah itu, seramai 173,722 individu berumur 40 tahun ke atas yang disaring mendapati 47.34 peratus disahkan menghidap NCD; 46.34 peratus mempunyai faktor risiko NCD manakala 6.31 peratus adalah sihat.

Beliau berkata seramai 79,045 individu berumur bawah 40 tahun telah disaring dan hasilnya mendapati 31.48 peratus daripada mereka disahkan menghidap NCD; 54.58 peratus mempunyai faktor risiko NCD, dan 13.91 peratus adalah sihat.

Katanya individu yang dikesan berisiko telah dirujuk ke klinik kesihatan untuk menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan status kesihatan mereka dan seterusnya diberi intervensi bagi mengawal faktor risiko dan penyakit yang mungkin dihidapi.

"NCD masih menjadi beban utama penyakit di Malaysia dan hampir separuh daripada individu yang menghidap NCD tidak pernah mengetahui status kesihatan mereka atau tidak sedar yang mereka menghidap NCD sehinggalah ia dikesan pada tahap yang teruk.

"Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru agar semua masyarakat, terutama yang berumur 40 tahun ke atas, mempunyai faktor risiko NCD, dan belum pernah atau telah lama tidak menjalani saringan kesihatan, untuk segera membuat tempahan janji temu di dalam aplikasi MySejahtera dan melakukan saringan kesihatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata aplikasi MySejahtera telah dikemas kini dengan pelbagai fungsi baharu bagi menyokong pelaksanaan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang merupakan satu daripada aktiviti utama di bawah Teras 3 Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) iaitu 'Kawalan Kesihatan Kendiri'.

Menurutnya pengguna MySejahtera kini dapat mengakses maklumat kesihatan mereka melalui fungsi 'Rekod Kesihatan' pada aplikasi itu setelah menjalani saringan kesihatan di fasiliti kesihatan kerajaan.

Beliau berkata fungsi itu akan diperluaskan ke semua fasiliti swasta yang berdaftar, termasuk saringan di bawah program PeKaB40 dan PERKESO.

Katanya tempahan janji temu bagi menjalani saringan kesihatan juga boleh dibuat melalui fungsi Janji Temu yang diwujudkan dalam MySejahtera, di samping penggunaan sistem janji temu sedia ada di fasiliti kesihatan.

NHSI dengan tagline 'Jom Saring!' mula dilaksanakan pada Julai sehingga Disember ini melalui kerjasama rakan-rakan strategik KKM termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara program saringan yang dihimpunkan di bawah NHSI ialah perkhidmatan saringan kesihatan di hampir kesemua fasiliti kesihatan KKM, program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), Pakej Saringan Kesihatan PERKESO dan lain-lain.

Menurut Khairy saringan di bawah program PeKa B40, yang menawarkan saringan kesihatan secara percuma mencatatkan jumlah keseluruhan 724,321 saringan sejak dilancarkan pada 2019 dan seramai 170,987 orang disaring bagi tahun ini.

"Bagi Pakej Saringan Kesihatan PERKESO pula, hampir 9,500 pekerja memanfaatkan baucar pemeriksaan kesihatan yang disediakan sehingga 22 September lepas," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X