Isnin, 26 September 2022 | 4:31pm
 Antara kolam takungan air yang ada di puncak Gunung Inas yang menimbulkan kebimbangan penduduk jika struktur itu pecah
Antara kolam takungan air yang ada di puncak Gunung Inas yang menimbulkan kebimbangan penduduk jika struktur itu pecah

'Lihat kemampuan kolam tampung air, elak bencana lebih buruk'

ALOR SETAR: Kerajaan negeri diminta melihat kepada kemampuan tiga kolam takungan di puncak Gunung Inas menyimpan kapasiti air dalam jumlah yang besar dan risiko sekiranya struktur itu pecah.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail, berkata kejadian bencana aliran puing dan banjir lumpur dijangka terus berlaku di sekitar lembangan Sungai Kupang, Baling, berikutan tidak ada yang menghalang sisa kayu dari atas Gunung Inas.

Berikutan itu, beliau berkata, kerajaan negeri perlu membuat keputusan segera berhubung kewujudan tiga kolam takungan berkenaan bagi menenangkan keadaan, perasaan dan keselamatan penduduk terutama di Kampung Iboi.

"Kerajaan perlu mengkaji kaedah dan kesan sekiranya kolam itu dirobohkan, selain perlu melihat kepada kemampuan kolam berkenaan menampung isi padu air yang ada.

"Sekiranya kolam itu tidak cukup kuat, ia akan pecah dan apa akan berlaku seterusnya, semua aspek perlu dikaji," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan diminta mengeringkan tiga kolam takungan air sebesar gelanggang futsal menggunakan kaedah terbaik bagi melindungi penduduk di sekitar kaki Gunung Inas.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, langkah mengeringkan kolam berkenaan dijangka tidak memberi apa-apa kesan kepada kawasan persekitarannya dan dakwaan ia menyebabkan perasaan tidak selamat hanya spekulasi semata-mata.

Berikutan itu, Tuan Ibrahim semalam menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan terhadap tiga kolam takungan air ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kemusnahan harta benda dan nyawa yang berlaku dalam kejadian sebelum ini, memberi kesan besar kepada penduduk dan langkah penyelesaian jangka panjang perlu dicari.

Katanya, penduduk sendiri melihat bagaimana bencana yang berlaku menyebabkan kemusnahan harta benda, kehilangan tempat tinggal dan kerosakan kemudahan, menyebabkan mereka lebih memahami masalah itu ketika ini.

"Walaupun kerajaan negeri dan kerajaan tempatan bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian, namun ada perkara yang masih memberikan tekanan kepada penduduk.

"Penduduk sudah faham kenapa air hujan turun ke bawah dengan banyak, antaranya kerana hujan lebat, kawasan gunung tiada pokok yang cukup untuk memperlahankan aliran air dan dikatakan juga disebabkan kolam di atas gunung," katanya.

Berikutan itu, Ahmad berharap, kerajaan negeri merangka perancangan dan persediaan yang sistematik selepas kawasan Baling turut menjadi antara lokasi titik panas kawasan banjir yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.

"Kawasan yang menjadi titik panas banjir berkemungkinan terima hujan lebat dan menjadi laluan air berlebihan. Kelajuan dan hakisan boleh menyebabkan banjir lumpur.

"Kerajaan negeri perlu lihat semua perkara ini, tindakan selamatkan penduduk boleh dirancang secara berkesan lebih awal. Saya percaya Baling ada pemetaan kawasan banjir yang lengkap," katanya.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, bencana banjir lumpur dan aliran puing menjejaskan lebih 800 penduduk dari 42 kampung sekitar Kupang dan meragut tiga nyawa di Kampung Iboi.

Berita Harian X