Jumaat, 23 September 2022 | 6:35pm

'Mungkin ini hadiah terakhir saya sebagai Ahli Parlimen Rembau' - KJ

REMBAU: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menyifatkan penaiktarafan Hospital Rembau mungkin menjadi hadiah 'terakhir' beliau selaku Ahli Parlimen Rembau.

Perkara itu dinyatakan Khairy ketika berucap sempena perasmian hospital yang dibina dengan kos keseluruhan RM147 juta itu, yang dinaik taraf sebagai hospital pakar minor.

Apa disuarakan Khairy dipercayai mempunyai kaitan dengan kenyataan beliau sebelum ini, yang mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau yang disandangnya sejak 2008, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau memaklumkan beliau diminta memberikan laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Ketua UMNO Bahagain itu yang berhasrat bertanding di kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, Khairy berkata penaiktarafan Hospital Rembau kepada hospital pakar minor bertujuan mengimbangi kesesakan jumlah pesakit yang dialami di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) di Seremban, dekat sini.

Sejajar itu, katanya, pelbagai kemudahan dan perkhidmatan di hospital berkenaan ditambah baik termasuk membuka satu lagi unit Otorinolaringologi (ORL), selain penambahan satu lagi dewan bedah yang membabitkan peruntuan RM9 juta.

"Sehubungan itu juga, penempatan pakar dalam Perubatan Am, Rehabilitasi, kecemasan, ORL, anaestesia, pembedahan, pediatrik, oftalmologi, psikiatrik dan lain-lain akan dibuat secara berperingkat.

"Satu lagi komponen penting bagi hospital pakar minor adalah CT Scan (imbasan topografi berkomputer) yang telah pun kita luluskan dan akan dibuat perolehan secepat mungkin.

"Memang ada keperluan hospital ini sebagai hospital pakar minor disebabkan kesesakan di HTJ Seremban Dengan menaikkan taraf sebagai hospital pakar minor, banyak kes sama ada boleh dirujuk di sini atau tidak perlu dirujuk di HTJ dan dapat diselesaikan di sini," katanya pada sidang media selepas perasmian itu.

Hospital Rembau dibina dengan kos keseluruhan RM147 juta bermula 9 September 2013 dan siap sepenuhnya 10 Oktober 2019, membabitkan perolehan peralatan sebanyak RM22.4 juta.

Jumlah pesakit mendapatkan perkhidmatan meningkat dengan bilangan pesakit luar naik daripada 14,413 orang pada 2020 kepada 21,449 setakat Ogos lalu, iaitu peningkatan 48.8 peratus.

Khairy (dua dari kiri) melawat pesakit selepas merasmikan Hospital Rembau hari ini. - BERNAMA
Khairy (dua dari kiri) melawat pesakit selepas merasmikan Hospital Rembau hari ini. - BERNAMA
Berita Harian X