Khamis, 22 September 2022 | 5:36pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendengar taklimat persiapan banjir sebelum melancarkan Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendengar taklimat persiapan banjir sebelum melancarkan Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

'Tidak logik adakan PRU15 ketika banjir'

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak logik diadakan ketika negara berdepan banjir, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata ia berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula November sehingga Mac 2023.

Katanya, biarpun kementerian bersedia menghadapi MTL serta PRU15 pada bila-bila masa, mana-mana parti politik juga menyedari tidak wajar pilihan raya dibuat ketika bencana banjir.

Reezal Merican berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya bersedia untuk menghadapi dua kemungkinan itu.

Katanya, tiada siapa yang tahu bila bencana akan berlaku meskipun ada ramalan dibuat MetMalaysia.

"Saya yakin PRU15 tentunya tidak diadakan ketika banjir," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan semalam memberi bayangan PRU15 tidak akan diadakan ketika negara berhadapan musim banjir.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, Jemaah Menteri memahami perkara berkaitan bencana banjir dan Perdana Menteri juga mengambil kira atas nasihat dari MetMalaysia.

Berita Harian X