Khamis, 22 September 2022 | 2:05pm

Bella beri keterangan secara tertutup di Mahkamah Sesyen hari ini

KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella, yang didakwa menjadi mangsa pengabaian dan penganiayaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Prosiding membabitkan saksi pendakwaan ke-18 itu dibuat secara tertutup dan hanya boleh dilihat hakim, pihak pendakwaan dan peguam melalui rangkaian secara langsung.

Bella ditempatkan dalam sebuah bilik dengan ditemani seorang perantara yang juga doktor psikilogi dari Jabatan Peguam Negara dan seorang peneman dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang prosiding dijalankan.

Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memohon supaya perbicaraan kes dijalankan secara tertutup memandangkan saksi adalah mangsa dalam kes berkenaan.

"Kami sebelum ini memohon kepada mahkamah apabila kanak-kanak memberi keterangan, seorang perantara digunakan mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 dan seorang peneman mengikut Seksyen 9 akta sama.

"Dua nama sudah diberikan kepada mahkamah ini iaitu Dr Nor Jumawaton Shahruddin dan Noor Faiidah Mohamed," katanya di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Sementara itu, Izralizam berkata, mahkamah sebelum ini membenarkan pelantikan perantara dan peneman selain saksi terbabit adalah kanak-kanak kurang upaya.

"Kali ini perbicaraan saksi iaitu Bella akan dijalankan melalui rangkaian secara langsung selaras Seksyen 31(b) Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007. Mahkamah juga mengikut Seksyen 12 akta sama seperti permohonan Timbalan Pendakwa Raya akan memulakan prosiding secara tertutup.

"Oleh demikian mahkamah meminta orang awam untuk meninggalkan galeri awam sebelum prosiding bermula," katanya.

Terdahulu, Bella dilihat hadir ke mahkamah bersama beberapa pegawai JKM kira-kira jam 9 pagi dengan memakai gaun berwarna putih dan biru seperti watak Puteri Elsa dalam filem animasi Frozen.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bella hadir memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Bella hadir memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X