Rabu, 21 September 2022 | 12:51pm
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas serta peralatan yang digunakan bagi memproses dadah. - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas serta peralatan yang digunakan bagi memproses dadah. - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain

Dadah RM20.56 juta dirampas, 5 lelaki ditahan

SHAH ALAM: Polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM20.56 juta dan menahan lima lelaki membabitkan dua sindiket pengedaran dadah berasingan di Ampang Jaya, Serdang dan Petaling Jaya, minggu lalu.

Dadah seberat 299.33 kilogram (kg) merangkumi jenis heroin base, pil erimin 5, methamphetamine, ganja, pil ecstasy dan kafein.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata sindiket di sekitar Lembah Klang itu ditumpaskan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, JSJN Bukit Aman, Johor serta Negeri Sembilan.

"Dalam kes pertama pada 13 September lalu, polis menahan dua lelaki berumur 32 tahun dan 35 tahun di tempat letak kereta berdekatan sebuah pasar raya di Ampang.

"Menerusi tangkapan itu, polis merampas empat ketulan mampat bahan disyaki dadah jenis heroin base dianggarkan 1.54 kilogram.

"Seorang lelaki berumur 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes itu kemudian ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Arjunaidi berkata, kira-kira jam 9.15 malam hari sama pula, dengan dipandu arah dua suspek, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan Sri Damansara.

"Polis menjumpai 112 ketulan mampat disyaki heroin base dengan anggaran berat 43.48 kg serta 89,500 biji pil erimin 5 anggaran berat 27.2 kg di dalam sebuah kereta Mercedes," katanya.

Dalam kes kedua, pada 15 September pula katanya, polis menahan dua lelaki berumur 23 tahun dan 27 tahun di sebuah rumah dipercayai dijadikan makmal memproses dadah di Damansara Perdana, Petaling Jaya kira-kira jam 6.10 petang.

"Pemeriksaan di rumah terbabit, polis menemui 355 bungkusan disyaki heroin (anggaran berat 134.19 kg), 54 bungkusan disyaki methamphetamine (anggaran berat 59.04 kg juga 20 ketulan mampat daun kering disyaki ganja (anggaran berat 20 kg).

"Polis turut menemui 15,830 biji pil erimin 5 (anggaran berat 4.56 kg), tujuh bungkusan disyaki pil ecstasy (anggaran berat 3.19 kg) dan enam bungkusan disyaki caffeine (anggaran berat 6.12 kg)

"Selain itu, polis turut menjumpai bahan dan peralatan memproses dadah seperti empat botol plastik 'accetone', satu botol plastik 'ethanol', mesin memproses dadah, corong besi serta pelbagai peralatan menghasilkan dadah," katanya.

Beliau berkata, dadah bernilai RM20.56 juta itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan selatan tanah air.

Jelas beliau, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana polis turut menyita aset sindiket bernilai RM152,001.

"Aset yang disita termasuk dua kereta iaitu Nissan Impul dan Audi, Lima motosikal iaitu Ducati, Honda ADV, Yamaha RXZ, Yamaha Y15ZR dan SYM juga helmet Shoei.

"Polis turut menyita tiga jam tangan bernilai RM5,000 serta wang tunai RM5,001," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula sehari selepas ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan," katanya.

Berita Harian X