Ahad, 18 September 2022 | 7:22pm

Tambah pelaburan bangunkan masa depan belia India

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta melabur lebih banyak untuk membangunkan masa depan belia India di negara ini, bagi memperkasa peranan golongan itu.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, berkata belia India berhak mendapat masa depan yang lebih baik dan suara mereka didengari oleh kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya memohon peruntukan sebanyak RM2 juta untuk MIC memenuhi Model Baharu Pembangunan Belia 2030 (MBPB 2030) supaya aktiviti belia dapat dianjurkan di peringkat akar umbi, sejajar aspirasi keluarga Malaysia.

"MIC juga memohon peruntukan RM45 juta untuk menguruskan 5,000 belia menerusi program intervensi belia berisiko.

"Dalam soal pembangunan kapasiti belia, MIC memohon RM25 juta untuk 3,000 belia bagi pelaksanaan program pembangunan modal insan dan pembinaan kapasiti, termasuk pelaksanaan program peningkatan kemahiran," katanya ketika melancarkan Briged MIC Kebangsaan di Arena Axiata, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Vigneswaran berkata, lebih banyak program intervensi awal diperlukan bagi membantu belia berisiko, terutama dalam memberi harapan kepada mereka bahawa ada pihak prihatin.

Pada masa sama, katanya, MIC juga meminta tempat yang mencukupi dalam program matrikulasi untuk pelajar masyarakat India.

"Sebelum ini, kerajaan BN memperuntukkan 2,200 tempat dalam program matrikulasi kepada masyarakat India.

"Bagaimanapun, kami kehilangan 1,000 tempat akibat permainan politik," katanya.

Vigneswaran turut mencadangkan peruntukan yang dimohon diletakkan di bawah kawal selia Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dengan syarat agensi itu dipindahkan kembali kepada Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, ia bagi membolehkan agensi ini melaksanakan agenda penubuhannya dengan jelas dan jayanya.

"MIC juga ingin sekali lagi memohon kepada kerajaan supaya peruntukan MITRA yang dipulang balik kepada Kementerian Kewangan, dikembalikan supaya dapat memberi manfaat kepada masyarakat India," katanya.

Sementara itu, Vigneswaran turut mencadangkan supaya prosedur standard penyiasatan pihak polis terhadap tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ditambah baik.

Katanya, beliau memahami kekangan yang dihadapi oleh pihak polis, bagaimanapun penggunaan SOSMA hanya harus terpakai kepada kes berat dan bukan sewenang–wenangnya ke atas individu yang hanya disyaki terbabit dalam jenayah.

"Terdapat pelbagai undang-undang lain seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) atau Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

"Gunakanlah undang-undang ini untuk mendakwa yang tertuduh berasaskan hasil siasatan," katanya.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menyampaikan ucapan pada majlis pelancar Briged MIC Peringkat Kebangsaan di Arena Axiata, Bukit Jalil. NSTP/Aswadi Alias
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menyampaikan ucapan pada majlis pelancar Briged MIC Peringkat Kebangsaan di Arena Axiata, Bukit Jalil. NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X