Khamis, 15 September 2022 | 12:13pm

PM ucap takziah pemergian Samy Vellu

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Tun Dr S Samy Vellu yang meninggal dunia di kediamannya, pagi tadi.

Perdana Menteri berkata, mendiang banyak menabur jasa dan bakti selama berkhidmat dalam kerajaan dan menerajui MIC serta menyifatkan pemergian Samy Vellu sebagai kehilangan besar buat negara.

Menyingkap jasa mendiang, Ismail Sabri berkata, Samy Vellu adalah pemimpin hebat yang dianggap sebagai bapa penyatuan masyarakat India, khususnya ketika menjadi Presiden MIC.

"Mendiang bukan sahaja berjaya menyatupadukan masyarakat India, tetapi adalah pemimpin yang memperjuangkan isu berkaitan terutama dari segi ekonomi golongan berkenaan.

"Banyak sumbangan yang ditabur kepada negara dan masyarakat India seperti penubuhan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) dan Kolej TAFE yang membantu meningkatkan kehidupan masyarakat India di negara ini.

"Negara kehilangan pemimpin hebat dengan pemergian Tun Samy Vellu. Mendiang banyak berperanan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dalam negara," katanya.

30 November 1990: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersalaman dengan Samy Vellu pada perhimpunan agung UMNO di Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP
30 November 1990: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersalaman dengan Samy Vellu pada perhimpunan agung UMNO di Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP

14 Januari 1986: Samy Vellu pada majlis pelancaran unit rondaan Lembaga Lebuhraya Malaysia di lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban. - Foto fail NSTP
14 Januari 1986: Samy Vellu pada majlis pelancaran unit rondaan Lembaga Lebuhraya Malaysia di lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban. - Foto fail NSTP

14 Mac 1984: Samy Vellu melepaskan peserta berjalan kaki sejauh 211 kilometer ke Maran, Pahang, di Batu Caves. - Foto fail NSTP
14 Mac 1984: Samy Vellu melepaskan peserta berjalan kaki sejauh 211 kilometer ke Maran, Pahang, di Batu Caves. - Foto fail NSTP

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.

Samy Vellu menerajui MIC selama 31 tahun bermula 1979 hingga 2010.

Mendiang menceburi bidang politik ketika berusia 23 tahun pada 1959 apabila menyertai MIC cawangan Batu Caves, di samping menjadi antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat iaitu 29 tahun.

Samy Vellu dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dari 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.

Mendiang pernah berkhidmat sebagai anggota pentadbiran Persekutuan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi dari 1978 hingga 2008.

Sementara itu, Perdana Menteri mengunjungi kediaman mendiang bagi memberi penghormatan terakhir di sini, hari ini.

Turut kelihatan ialah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.

Saravanan berkata, negara kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negara dan masyarakat.

"Kita lihat sumbangannya sebagai Presiden MIC dan pemimpin masyarakat yang tidak boleh dibandingkan.

"Di bawah pimpinan mendiang, MIC memiliki aset seperti universiti bernilai kira-kira RM1 bilion dan ia antara usaha Tun Samy Vellu untuk masyarakat India tidak tercicir dalam arus pembangunan negara.

"Mendiang akan sentiasa diingati oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Jasad mendiang akan diletakkan untuk kunjungan orang kenamaan dan orang awam bermula jam 2 petang ini di rumahnya sebelum disemadikan di Pusat Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Kuari Cheras, jam 3 petang esok.

Berita Harian X