Isnin, 22 Ogos 2022 | 7:05pm
Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (tengah) menyaksikan simbolik pertukaran tugas antara Datuk Seri Zamri Yahya (kiri) dan Datuk Baharuddin Ahmad - Foto NSTP/Ihsan PDRM
Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (tengah) menyaksikan simbolik pertukaran tugas antara Datuk Seri Zamri Yahya (kiri) dan Datuk Baharuddin Ahmad - Foto NSTP/Ihsan PDRM

Baharuddin Ahmad dilantik sebagai Pemangku Pengarah Cawangan Khas

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, Datuk Baharuddin Ahmad, dilantik sebagai Pemangku Pengarah Cawangan Khas, berikutan persaraan Pengarah Cawangan Khas Datuk Seri Zamri Yahya.

Majlis Serah Terima Tugas, yang disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Zamri, sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, pernah menjadi Ketua Polis Kedah dan Pengarah Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS).

Acryl Sani berkata, Zamri sudah berkhidmat bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 36 tahun.

"Saya dan warga PDRM mengucapkan terima kasih atas kepimpinan cemerlang dan menyanjung tinggi kesetiaan serta khidmat bakti Datuk Seri Zamri.

"Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada Datuk Baharuddin Ahmad di atas pelantikan sebagai Pemangku Pengarah Cawangan Khas bagi menggantikan Datuk Seri Zamri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PDRM yakin berbekalkan pengalaman yang luas dalam bidang penugasan Cawangan Khas, Baharuddin mampu memikul amanah yang diberikan dengan cemerlang.

Pada majlis sama turut berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi PERKEP Cawangan Khas di antara penyandang iaitu Datin Seri Dr Sazilah Ahmad Sarji kepada Datin Hasimah Yon Abdul Latif.

Berita Harian X