Khamis, 18 Ogos 2022 | 7:34pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto fail NSTP
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto fail NSTP

Perbicaraan kes seleweng dana 1MDB Najib ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan Datuk Seri Najib Razak berhubung kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dijadualkan bersambung minggu depan, ditangguhkan sementara menunggu perkembangan rayuan terakhirnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi, hari ini, turut menetapkan Selasa depan bagi pengurusan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB itu dan mengecualikan bekas Perdana Menteri itu daripada menghadiri pengurusan kes berkenaan.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, Najib dikecualikan menghadiri pengurusan kes berkenaan selepas mengambil kira beliau mungkin masih perlu melalui proses rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, minggu depan.

"Kita tidak boleh meramal apa yang berlaku (rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan), kita boleh ramal untuk esok tetapi tidak boleh ramalkan minggu depan. Saya berpendapat pengurusan kes dibuat Selasa depan," katanya.

Terdahulu, peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed, berkata proses rayuan anak guam di Mahkamah Persekutuan masih berjalan dan mungkin bersambung hingga minggu depan.

"Pihak Timbalan Pendakwa Raya masih berhujah di mahkamah itu pada ketika ini. Mengambil kira keadaan ini, cadangan saya empat tarikh perbicaraan Najib berhubung kes 1MDB pada minggu depan dikosongkan," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Najib, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, Mohamad Mustafa memberitahu pemberita, perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB yang membabitkan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan bersambung pada 26 Ogos.

Beliau berkata, perbicaraan sepatutnya diteruskan hari ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, namun ditangguhkan atas sebab yang sama.

"Semalam, kami menerima surat daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang memaklumkan permohonan untuk melapangkan perbicaraan hari ini seperti yang diminta peguam Najib dua hari lalu, dibenarkan.

"Mahkamah menetapkan 26 Ogos dan beberapa tarikh lain pada 2 September serta 21, 25 dan 28 Oktober untuk meneruskan perbicaraan," katanya.

Najib, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Najib daripada tindakan tata tertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Berita Harian X