Rabu, 17 Ogos 2022 | 5:47pm
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (kanan) bersama peguamnya hadir ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan menghina mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (kanan) bersama peguamnya hadir ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan menghina mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Cakap 'bodoh', hakim beri amaran terakhir kepada Lokman Adam

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini, memberi amaran terakhir kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, supaya tidak mengulangi perbuatan menghina mahkamah seperti yang dilakukan pada 30 Jun lalu.

Amaran itu diberi hakim berkenaan selepas Lokman didapati bersalah kerana menyebut perkataan 'bodoh' ketika prosiding perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Mahkamah mengambil kira semua keadaan, kita mendapati Lokman menghina mahkamah berdasarkan penjelasan dibuat (bekas Ahli MKT UMNO itu).

"Isu yang timbul adalah perkara serius. Lokman sudah memohon maaf kepada mahkamah. Ini amaran terakhir dan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap Lokman," katanya.

Lokman diwakili peguam, K Balaguru dan Singara Velan, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah.

Pada 30 Jun lalu, ketika perbicaraan Ahmad Zahid, Lokman dikenakan notis tunjuk sebab berhubung tindakannya menghalang penjawat awam dan mendakwa sistem perundangan negara tidak adil.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, dilaporkan membangkitkan tindakan Lokman dan meminta mahkamah mengenakan tindakan terus kepadanya.

Raja Rozela berkata, ketika prosiding berhenti rehat, beliau dimaklumkan oleh polis mahkamah, Lans Koperal Walter bahawa Lokman, yang juga Presiden Laskar Siber Malaysia memanggil polis 'bodoh' apabila dia ditegur sedang 'bermain' telefon ketika prosiding kes.

Sebelum ini, Lokman memohon maaf tanpa sebarang syarat dan dengan sesuci hati kepada hakim, mahkamah serta semua pihak terbabit atas perkara yang berlaku.

"Saya berjanji perkara ini tidak akan berlaku lagi. Saya akan patuhi peraturan ditetapkan jika saya masuk mahkamah pada masa lain," katanya.

Pada prosiding hari ini, Lokman mengakui menyebut perkataan 'bodoh' dalam mahkamah, namun ia bukan ditujukan kepada Walter.

Beliau berkata, ia adalah rungutan kepada rakan dikenali sebagai Hafiz, yang duduk berdekatannya di galeri awam.

Katanya, beliau membuat rungutan itu kerana polis mahkamah memintanya untuk berhenti menulis perjalanan prosiding kes dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu menerusi telefon pintarnya.

"Saya mencatatkan perjalanan kes Ahmad Zahid guna aplikasi nota dalam telefon pintar yang berada dalam mod penerbangan. Lans Koperal Walter ada minta saya jangan catat nota dengan cara baik.

"Saya beritahu ada kawan kita (individu lain dalam mahkamah) catat nota menggunakan komputer riba, kenapa guna telefon tidak boleh? Sekarang 2022 ada telefon pintar, ada aplikasinya yang saya boleh catat nota.

"Selepas dia (polis mahkamah) beredar, saya merungut dengan Hafiz 'this is stupid' (ini bodoh). Saya meluahkan kekecewaan, tiada undang-undang mengatakan tidak boleh catat nota menggunakan telefon pintar.

"Mungkin Lans Koperal terdengar perkataan 'bodoh'. Hafiz duduk di sebelah tetapi ada jaraknya, maka kalau Hafiz boleh dengar 'bodoh', Walter pun boleh dengar," katanya.

Berita Harian X