Isnin, 15 Ogos 2022 | 6:01pm

Wanita berihram kerjakan umrah 'DIY'

IPOH: Seorang wanita berperwatakan lelaki yang memakai ihram ketika mengerjakan umrah tidak menggunakan khidmat 35 syarikat yang bernaung di bawah Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Negeri Perak (PUHAZ).

Presidennya, Mohd Ali Sabri Abd Rahman berkata, maklumat awal mendapati wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki itu pergi secara 'DIY' (diurus sendiri) bersama rakannya.

"Kita di pihak PUHAZ menyokong apa sahaja tindakan undang-undang yang ditetapkan Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan JAKIM berhubung isu (pengkid pakai ihram) ini.

"Kita memang menyokong sepenuhnya apa yang dilakukan oleh pihak berwajib bagi mengekang perkara yang tidak baik," katanya pada satu sidang media khas berhubung isu penerbangan jemaah umrah tertangguh di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PUHAZ, Abdul Jabbar Abdul Kahar.

Mohd Ali Sabri berkata, daripada sudut hukum fekah umrah yang dikerjakan oleh individu wanita berpakaian menyerupai lelaki itu adalah tidak sah.

"Tidak sah umrah jika berpakaian demikian kerana dia perempuan tetapi berpakaian menyerupai lelaki.

"Hukum daripada sudut pemakaian, orang perempuan memakai pakaian lelaki adalah haram apatah lagi di Tanah Suci.

"Jadi, dalam perkara ini jika dilihat dari segi hukum hakamnya dia sudah menghina agama," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menasihati kepada mana-mana jemaah untuk pergi mengerjakan umrah dengan ejen pelancongan agar ada pemantauan dari sudut hukum.

"Tidak salah umrah secara DIY tetapi kena memahami hukum hakam, kita di pihak PUHAZ memang menjaga jemaah dari segi bimbingan hukum dan bagaimana mereka menyelesaikan masalah dalam tempoh sepanjang mengerjakan umrah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, sebagai berkata tindakan tegas menanti kepulangan wanita berkenaan yang didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram seperti lelaki.

Idris dilaporkan berkata, tindakan itu perlu kerana isu berkenaan membabitkan hukum agama dan meminta bantuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyiasat bagi memastikan kesahihan isu yang sedang tular di media sosial itu, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.

Terdahulu tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan susulan videonya berada di Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.

Wanita terbabit dipercayai dari Perak.

Dalam satu hantaran video menunjukkan wanita terbabit menuju ke Raudhah, seorang pengguna Twitter yang berkongsi perbuatan terbabit mengesahkan individu berkenaan adalah wanita dan bekas pekerjanya.

Difahamkan wanita berperwatakan lelaki itu ke Tanah Suci dengan menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi umrah.

WANITA yang tular di media sosial kerana mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram dikecam akibat mencemar agama.
WANITA yang tular di media sosial kerana mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram dikecam akibat mencemar agama.
Berita Harian X