Sabtu, 13 Ogos 2022 | 11:19pm
 Mahdzir (kanan) meninjau Laman Padi MAFI sempena Pameran MAHA, hari ini.
Mahdzir (kanan) meninjau Laman Padi MAFI sempena Pameran MAHA, hari ini.

MAFI lantik FELCRA jadi pengeluar benih asas padi MRQ76

KUALA LUMPUR: FELCRA Berhad melalui anak syarikatnya, FELCRA Plantation diberi kepercayaan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menjadi pengeluar benih asas padi wangi MRQ76.

Benih asas padi itu dikomersialkan FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata FELCRA diberi peranan utama dalam memastikan kualiti dan kuantiti benih MRQ76 sentiasa terjamin dan mencukupi bagi tujuan penanaman padi wangi berskala besar di bawah program SMART Sawah Berskala Besar (SBB).

"Kerjasama pintar di antara MAFI dan FGV dalam program SMART SBB ini terbukti mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi sehingga satu tan sehektar.

"Ia sekali gus meningkatkan hasil pendapatan pesawah dengan harga jualan padi RM1,540 per tan berbanding RM1,260 per tan untuk varieti padi putih," katanya pada sidang media selepas melawat Laman Padi MAFI, di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengerusi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras MAFI, Azman Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.

Mahdzir berkata, program SMART SBB terbukti berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi khususnya di kawasan penanaman padi di bawah pengurusan FELCRA Berhad di Seberang Perak dan Barat Laut Selangor.

"Seiring Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), FELCRA membuat perubahan dalam pengurusan tanaman padi melalui penggunaan aplikasi teknologi seperti dron.

"Sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk pembangunan teknologi dron di estet FELCRA," katanya.

Mahdzir berkata, ia bertujuan menggalakkan dan menarik minat golongan muda khususnya anak peserta FELCRA menceburi industri padi, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan baharu di kawasan terbabit.

Beliau berkata, FELCRA turut mempunyai kepakaran melaksnaakan kerja kajian profil tanah bagi membantu pesawah mengenal pasti nutrien tanah dan tahap kesuburan tanah.

"Perkara ini penting bagi memastikan rawatan tanah dapat dilaksanakan secara efisien dan efektif," katanya.

Berita Harian X