Sabtu, 13 Ogos 2022 | 4:32pm
Bekas Pengarang Pengurusan NST, Datuk Nuraina Samad, pada majlis pelancaran buku ‘Tuesdays with Bapak’ mengenai bapanya, Tan Sri A Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad. - NSTP/ROHANIS SHUKRI

'Tuesdays with Bapak' lambang kenangan keluarga Pak Samad

KUALA LUMPUR: Sebagai wartawan berpengalaman, Datuk Nuraina Samad, awalnya keberatan berkongsi kisah beliau dan keluarga bersama bapanya, Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, untuk tatapan umum.

Bagaimanapun, selepas diyakinkan kisah menarik tokoh wartawan itu harus diceritakan, Nuraina akhirnya mencoretkan kisah bapanya 'Tuesdays With Bapak' dalam blog beliau, Nuraina A Samad's 3540 Jalan Sudin, pada setiap Selasa bermula 2006 dan kini dibukukan.

Nuraina yang juga bekas Pengarang Pengurusan akhbar New Straits Times (NST), berkata buku hasil kompilasi penulisan di blognya itu adalah perspektif seorang anak terhadap tokoh wartawan dan pengarang pertama akhbar BH itu.

Nuraina menandatangani bukunya untuk tetamu pada majlis pelancaran buku ‘Tuesdays with Bapak’. - NSTP/ROHANIS SHUKRI
Nuraina menandatangani bukunya untuk tetamu pada majlis pelancaran buku ‘Tuesdays with Bapak’. - NSTP/ROHANIS SHUKRI

Kisah dalam buku itu bermula ketika keluarganya berdepan detik suram apabila Pak Samad ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1976 kerana didakwa cenderung menyokong komunis.

"Ia adalah memori hitam bagi keluarga saya dan bukan sesuatu yang indah untuk dikenang. Sebagai wartawan, kita kerap menulis kisah orang lain atau apa juga perkara, bukannya kisah sendiri.

"Bagaimanapun, selepas diyakinkan oleh Datuk Ahiruddin Attan, beliau sedar saya harus menceritakannya. Buku ini mengambil masa 10 tahun daripada penulisan awal di blog sebelum menjadi buku," kata anak keenam daripada 10 beradik itu.

Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad
Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran buku 'Tuesdays with Bapak' di sini hari ini, yang dihadiri keluarga dan teman rapat.

Nuraina berkata, tajuk 'Tuesdays with Bapak' dipilih kerana Selasa adalah hari beliau dan keluarga boleh melawat Pak Samad ketika ditahan ISA.

Dalam buku setebal 380 muka surat itu, Nuraina berkongsi kisah peribadi dan pengalamannya dengan Pak Samad yang mencuit hati, antaranya bagaimana wartawan prolifik itu suka memasak dan mengemas serta mencintai filem, muzik dan komik, selain berkongsi bersama anak-anak.

Ia juga menceritakan bagaimana sejarah dilakar dan apa yang diperkatakan Pak Samad kepada keluarganya mengenai isu penting negara pada waktu itu.

"Beliau bapa yang tegas, mengambil berat dan memahami. Sebagai suami, beliau penyayang dan datuk terbaik kepada cucunya," katanya.

Pak Samad meninggal dunia pada 4 Ogos 2008 pada usia 84 tahun akibat jangkitan paru-paru.

Buku 'Tuesdays with Bapak' boleh didapati di kedai buku terpilih dan secara atas talian di platfom tempatan serta antarabangsa.

(GAMBAR FAIL 13 DISEMBER 1983) Timbalan Presiden Indonesia ketiga, Tun Adam Malik (dua dari kanan) disambut oleh Ketua Pengarang New Straits Times, Tan Sri Lee Siew Yee (dua dari kiri) ketika melawat Balai Berita, Kuala Lumpur. Turut kelihatan, Pengarang Kumpulan (Bahasa Inggeris), Tan Sri A Samad Ismail; Pengarang, Azzat Kamaludin; dan Tan Sri Dr Munir Majid. - NSTP/NIB

Berita Harian X