Jumaat, 12 Ogos 2022 | 7:43pm

Wanita pakai ihram, elok bertaubat sebelum terlambat

KUALA LUMPUR: "Golongan yang suka mempermainkan agama sebegini eloklah bertaubat daripada perbuatan sia-sia sementara Allah SWT masih memberi peluang untuk mereka kembali ke jalan yang benar."

Itu reaksi Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berhubung video tular memaparkan wanita berperwatakan lelaki lengkap berpakaian ihram seperti jemaah lelaki dan menunaikan umrah di Makkah.

Beliau berkata perbuatan mempersenda dan mempermainkan agama adalah sifat orang munafik yang diancam di dalam al-Quran dengan seksaan neraka yang dahsyat di akhirat kelak.

"Sesiapa melakukan tindakan sedemikian sesungguhnya telah kufur sebab dikira dia memandang ringan kepada agamanya.

"Keimanan menuntut seseorang mengagungkan serta menghormati Allah, Rasul dan agama-Nya, sedangkan mereka meringan-ringankan kesemua ini," katanya kepada BH hari ini.

Tambahnya, perbuatan sedemikian disebut dalam ayat 66 surah At-Taubah yang bermaksud 'Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu bermain-main?'.

"Memang sejak zaman Rasulullah SAW lagi sudah wujud golongan yang suka mempersendakan agama Islam dan menjadikannya bahan mainan.

"Sebenarnya mereka ini hanya memudaratkan diri sendiri sedangkan agama Islam sedikitpun tidak terjejas oleh tindakan sedemikian," katanya.

Tular di Twitter sejak semalam beberapa hantaran video seorang wanita yang berada di Makkah dan menziarahi Raudhah, lengkap berpakaian ihram sebagaimana jemaah umrah lelaki.

Seorangg pengguna Twitter, .am mengesahkan individu berkenaan adalah wanita dan bekas pekerjanya.

Berita Harian X