Jumaat, 12 Ogos 2022 | 6:04pm
 Wanita berpakaian ihram ketika umrah di Makkah yang tular di media sosial. Foto daripada Twitter
Wanita berpakaian ihram ketika umrah di Makkah yang tular di media sosial. Foto daripada Twitter

'Ambil tindakan terhadap wanita tunai umrah sebagai lelaki'

KUALA LUMPUR: Wanita yang tular di media sosial kerana mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki wajar didakwa kerana menghina agama.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata tindakan itu perlu bagi mengelak lebih banyak kes seumpamanya berlaku.

"Pertama, hukum wanita menyerupai lelaki atau sebaliknya dilaknat Allah SWT, maknanya ia berdosa. Orang ini tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT.

"Tindakannya menunaikan umrah dengan menyerupai lelaki adalah menghina agama dan patut didakwa mengikut enakmen yang ada," katanya kepada BH, hari ini.

Sejak semalam, tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan susulan videonya berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.

Dalam satu hantaran video menunjukkan wanita terbabit menuju ke Raudhah, seorang pengguna Twitter, .am mengesahkan individu berkenaan adalah wanita dan bekas pekerjanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, banyak perkara yang bercanggah dengan agama dilakukan wanita berkenaan.

"Apabila seorang wanita menunaikan umrah, perlu tutup keseluruhan aurat.

"Jika tidak, tak sahlah ibadat umrah dan perlu bayar dam serta buat semula (umrah)," katanya.

Pada Februari 2020, ahli perniagaan, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Sajat menimbulkan kontroversi kerana mengenakan pakaian jemaah wanita ketika mengerjakan umrah.

Berita Harian X