Jumaat, 12 Ogos 2022 | 5:08pm
Datuk Seri Amar Singh
Datuk Seri Amar Singh

Amar Singh nafi bawa 'girlfriend' serbu rumah Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh, menafikan dakwaan teman wanitanya hadir ketika serbuan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di kediaman milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menjawab dakwaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin menerusi portal Malaysia Today miliknya kononnya teman wanita Amar Singh hadir ketika serbuan itu pada Mei 2018 dan mengambil salah satu beg yang dirampas.

Amar Singh, berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap kenyataan tidak benar yang dikeluarkan oleh Raja Petra itu.

Sambil menyifatkan serbuan itu sebagai yang terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amar berkata ia dilakukan dengan mematuhi peraturan ketat dan prosedur operasi standard (SOP) secara sepenuhnya.

"Rekod terperinci dibuat mengenai apa yang ditemui, tiada wanita dalam kalangan orang awam hadir serta tiada apa-apa yang dikeluarkan seperti yang dilaporkan RPK (Raja Petra).

"Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa serbuan itu dilakukan oleh sepasukan yang terdiri daripada beberapa Timbalan Pengarah dan penolong pengarah polis, pegawai kanan polis di mana sebahagian daripada mereka kemudian dilantik menjadi Pengarah PDRM dan Ketua Polis Negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seramai 70 pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan terbabit dalam serbuan itu termasuk daripada JSJK, Unit Tindakan Khas (UTK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan polis trafik.

"Tidak apa-apa yang boleh melepasi dan menembusi pasukan serbuan yang besar ini di lokasi kediaman itu Pavilion Residen, Bukit Bintang, pada hari serbuan.

"Oleh itu tidak ada kemungkinan wujud konspirasi untuk disembunyikan. Saya sengaja membentuk pasukan serbuan daripada elemen berbeza untuk mengelakkan dakwaan palsu oleh 'tentera upahan' seperti RPK mengenai serbuan itu," katanya.

Amar berkata, sepanjang proses serbuan dibuat gambar dan video turut dirakam dari awal hingga akhir serbuan oleh pasukan bebas daripada JSJ.

Katanya gambar dan video berkenaan masih berada dalam simpanan pasukan JSJ.

Beliau berkata amat sukar untuk mana-mana individu terutamanya orang awam boleh mengelak diri mereka dari dirakam kamera dan video tanpa disedari melainkan orang ini tidak kelihatan.

"Malah lokasi serbuan pula mempunyai lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV) selain liputan oleh lebih 50 wartawan yang sedang menunggu di lobi, iaitu satu-satunya pintu keluar bangunan ketika itu.

"Tiada seorang pun daripada wartawan yang melihat seorang wanita awam berjalan keluar dari serbuan itu, itu juga dengan beg pakaian besar seperti yang didakwa," katanya.

Amar yang turut menafikan dakwaan kononnya dia telah berhijrah ke Kanada berkata laporan oleh RPK jelas palsu.

"Saya masih di Malaysia dan akan berada di sini di negara saya sehingga saya mati dan saya akan membuat laporan polis terhadap RPK berhubung dakwaan palsu ini.

"Saya juga telah dimaklumkan oleh pegawai kanan yang hadir semasa serbuan itu bahawa mereka juga akan membuat laporan polis terhadap RPK," katanya.

"Saya masih di Malaysia dan akan berada di sini di negara saya sehingga saya mati. Jika seseorang telah melakukan tugas dengan penuh integriti sudah tentu tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya.

Amar bersara pada 5 Disember 2018.

Berita Harian X