Jumaat, 12 Ogos 2022 | 10:05am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Penggunaan internet semua benda dalam agromakanan perlu diperkasa

SERDANG: Penggunaan internet semua benda (IoT) dalam sektor agromakanan negara perlu diperkasa bagi mendepani cabaran semasa dalam industri pertanian termasuk berkaitan kekurangan tenaga kerja serta kenaikan harga racun dan baja.

Setiausaha Bahagian Pemodenan Pertanian Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Roshidi Mat Moor, berkata penggunaan IoT dapat mewujudkan pertanian tepat sekali gus meningkatkan produktiviti dan hasil pengeluaran.

"Kita berdepan cabaran tenaga kerja kerana banyak kita gunakan tenaga kerja asing, kita tidak boleh bergantung sebab jika negara luar tidak benarkan pengambilan pekerja dari negara mereka bagaimana? Pertanian tetap perlu diteruskan, jadi aplikasi IoT diperlukan kerana mampu menggantikan tenaga kerja manusia.

"Selain itu, masalah baja dan racun dengan perang di Russia pula menyebabkan berlakunya kenaikan harga ditambah lagi dengan kejatuhan ringgit, kita import banyak benda (baja, racun) ini dan kalau hasil tanaman kita jual mahal dibimbangi tidak laku, sebab itu perlunya IoT kerana ia mewujudkan pertanian tepat dengan penggunaan baja dan racun yang sedikit tetapi dapat meningkatkan penghasilan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di kluster Agro Teknologi, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.

Memperincikan mengenai IoT dalam sektor agromakanan, Roshidi berkata, IoT adalah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang berkaitan dengan data dan pertanian pintar.

"IoT berkaitan dengan data, contoh sebelum ini jika ada alat untuk periksa tanah, air dan kelembapan tetapi melalui IoT bacaan itu tadi disalurkan terus ke telefon pintar sebelum dijadikan sebagai analisis data raya untuk dikaji yang kemudiannya boleh digunakan untuk mengubah hasil-hasil pertanian bagi tujuan meningkatkan produktiviti.

"Selain itu, penggunaan dron pula sekiranya dron itu terbang rendah, boleh ambil gambar dan data boleh mengesan sekiranya tanaman ada penyakit atau sebagainya, tindakan yang sepatutnya boleh dibuat," katanya.

Roshidi berkata, teknologi blockchain juga akan digunakan selepas ini dalam sektor agromakanan untuk memantau atau mengesan rantaian pergerakan hasil tanaman di setiap peringkat sama seperti mengesan pergerakan barangan yang dibeli secara dalam talian.

Mengakui penggunaan IoT dalam kalangan pengusaha dan petani masih pada tahap yang rendah, Roshidi berkata pengusaha dan kerajaan perlu memainkan peranan bagi meningkatkan tahap penggunaan IoT sekali gus memperkasa penggunaannya.

"Teknologi dalam pertanian memang sudah ada cuma IoT ini masih lagi baharu…kadang-kadang produk itu ada tetapi sebagai pengusaha jika mereka mahu tingkatkan produktiviti, mereka perlu cari apa yang disediakan manakala di pihak kerajaan pula mungkin promosi yang lebih hebat boleh dilakukan selain melalui platform MAHA.

"Agrobank juga ada memperkenalkan Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan yang merupakan kemudahan pembiayaan kepada petani yang ingin mengadaptasi IR 4.0 sebab memang kita tahu penggunaan teknologi dalam pertanian memerlukan kos yang agak mahal," katanya.

Segmen Agro Teknologi mempamerkan penggunaan jentera dan teknologi terkini dalam pertanian antaranya penggunaan dron bagi pemetaan dan pemantauan serta semburan baja dan racun secara lebih tepat dan meluas.

Selain itu, kaedah pertanian lestari turut dipamerkan dengan gabungan teknik hydroponic, aquaculture, vertical farming, vermiponic dan aeroponic bagi ekosistem pertanian bersepadu yang mampan dan cekap. – BERNAMA

Berita Harian X