Khamis, 11 Ogos 2022 | 4:16pm

Nasib keluarga Allahyarham Mohd Firdaus bakal dibela

JITRA: Nasib keluarga Penolong Pengarang Berita Harian Metro, Allahyarham Mohd Firdaus Ibrahim, yang meninggal dunia minggu lalu, akan terus dibela melalui pelbagai bantuan dan sokongan pihak Kumpulan Media Prima.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit, berkata pihaknya kehilangan seorang wartawan berbakat besar, selain mempunyai dedikasi yang sangat tinggi dalam melaksanakan setiap tugasnya.

Katanya, bagi memastikan keluarga Allahyarham terus terbela, pihaknya akan berusaha membantu keluarga arwah dari segi kewangan, mencari pekerjaan bersesuaian untuk isteri dan memastikan anak arwah mendapat pendidikan sempurna.

"Allahyarham Mohd Firdaus adalah keluarga kita dan atas semangat kekeluargaan, syarikat akan terus membantu keluarganya dan juga keluarga mana-mana kakitangan yang menerima nasib sama.

"Kita akan cuba bantu mencari peluang pekerjaan buat isterinya, selain memastikan anaknya terus dapat bersekolah.

"Selain itu, kita akan lihat bantuan lain yang sesuai mengikut keperluan mereka dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu Husain mengiringi Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Firdaus di Kampung Bagan, Mukim Jeram di sini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Media Prima, Nor Arzlin Redzwan dan Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (dua kiri) bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (kiri) dan Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Media Prima, Nor Arzlin Redzwan (kanan) ketika menziarah isteri dan keluarga Penolong Pengarang Berita Harian Metro, Allahyarham Mohd Firdaus Ibrahim, Noor Aida Noh, 37, (dua kanan) sambil disaksikan bapa Allahyarham, Ibrahim Ishak (tiga kiri) di Kampung Bagan, Jitra. - NSTP/Luqman Zubir

Dalam pada itu, isteri Allahyarham, Noor Aida Noh, 37, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu demi memastikan kehidupannya dan empat anak berusia antara 10 bulan hingga sembilan tahun terjamin.

"Ketika ini, perancangan saya untuk menguruskan empat anak kami yang masih kecil dengan hanya dua sahaja baharu bersekolah masing-masing di Tahun Satu dan Tiga.

"Selepas ini, saya akan balik sementara ke rumah kami di Kuala Lumpur bagi meneruskan persekolahan anak sehingga hujung tahun, sebelum berpindah ke sini dan mencari pekerjaan tetap," katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Mohd Firdaus, 37, meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Kuala Lumpur akibat jangkitan malaria dan kegagalan fungsi organ.

Sepanjang 14 tahun berkhidmat, beliau banyak membantu menaikkan nama Harian Metro termasuk memenangi pelbagai anugerah peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (dua kanan) bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (kiri) dan Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Media Prima, Nor Arzlin Redzwan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada isteri Penolong Pengarang Berita Harian Metro, Allahyarham Mohd Firdaus Ibrahim, Noor Aida Noh, 37, sambil disaksikan bapa Allahyarham, Ibrahim Ishak (tiga kiri) di Kampung Bagan, Jitra. - NSTP/Luqman Zubir

Berita Harian X