Ahad, 7 Ogos 2022 | 5:39pm
Subramaniam (baju merah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, kerana mencederakan seorang pengawal keselamatan menggunakan sebilah pedang di tapak projek perumahan Khamis lalu - Foto NSTP/Izad Thaqif Hassan
Subramaniam (baju merah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, kerana mencederakan seorang pengawal keselamatan menggunakan sebilah pedang di tapak projek perumahan Khamis lalu - Foto NSTP/Izad Thaqif Hassan

Mengaku salah tetak pengawal keselamatan dengan pedang

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pedang terhadap seorang pengawal keselamatan, Khamis lalu.

Tertuduh, R Subramaniam, 41, yang menganggur membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, Subramaniam yang berasal dari Kampung Sungai Puntar, Bedong dekat sini didakwa dengan niat menyebabkan cedera parah terhadap Ismail Ahmad, 58, menggunakan sebilah pedang di pos pengawal Tapak Projek Perumahan Siera 4, Bukit Bayan di sini pada 4.40 petang 4 Ogos lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Roslan kemudian menetapkan 29 Ogos depan sebagai tarikh jatuh hukum kerana masih belum memperoleh laporan perubatan penuh mangsa.

Mahkamah turut membenarkan Subramaniam diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan dengan mengarahkan tertuduh melapor diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sehingga kesnya selesai.

Dalam kejadian Khamis lalu, seorang pengawal keselamatan cedera di kepala dan tangan kiri selepas dilibas pedang oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana ditegur mangsa ketika dia menunggang motosikal.

Mangsa dikatakan menegur perbuatan lelaki terbabit yang ketika itu dilihat menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan tapak projek berkenaan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Lelaki terbabit beredar sebelum datang semula bersama dua lagi rakan dan melibas sebilah pedang terhadap mangsa sehingga pengawal keselamatan terbabit terpaksa dikejarkan ke hospital.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita palsu berkaitan kes itu.

"Berita disebarkan itu bercanggah dengan kejadian sebenar, kita khuatir ia boleh mencetuskan kegemparan awam dan polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyebar berita palsu ini," katanya.

Berita Harian X