Sabtu, 6 Ogos 2022 | 10:41pm
Fahmi (kiri) bidas Najib (kanan) kerana salahkah PH sebagai punca masalah dalam projek LCS.
Fahmi (kiri) bidas Najib (kanan) kerana salahkah PH sebagai punca masalah dalam projek LCS.

'Kapal mungkin dah siap kalau kamu dengar teguran Panglima Tentera Laut'

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, membidas tindakan Datuk Seri Najib Razak, yang menuduh Pakatan Harapan (PH) sebagai punca timbulnya masalah dalam skandal membabitkan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, turut mempersoalkan kenyataan Najib yang seolah-olah tidak menyedari kesilapan sendiri, sedangkan Ahli Parlimen Pekan itu adalah Perdana Menteri ketika segala persiapan kontrak perolehan LCS berlangsung.

"Yang salah, yang buat silap semua orang lain. Dia sendiri tak pernah silap walaupun dialah PM (Perdana Menteri) waktu segala persiapan kontrak perolehan LCS berjalan," katanya melalui Facebook.

Terdahulu, Najib menerusi catatan di Facebook berkata projek pembinaan enam LCS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih dimajukan sewaktu BN, namun diperlambatkan kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 dan dibekukan sepenuhnya pada tahun 2019, di mana kapal pertama dijadualkan untuk diserah.

Beliau berkata, pandemik yang menimpa pada 2020 dan 2021, turut menyumbang kepada masalah untuk menyiapkan LCS terbabit.

Mengulas catatan Najib itu, Fahmi mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri itu tidak mengambil peduli surat teguran Panglima Tentera Laut berhubung masalah perolehan LCS itu.

"Yang kamu tak dengar teguran dalam dua surat Panglima Tentera Laut tentang masalah perolehan LCS tu, itu pun salah Pakatan (PH) ke?

"Dia (Najib) tak pernah terfikir ke, kesemua 10 surat Panglima Tentera Laut itu, kalau diterima dan diambil tindakan awal, mungkin tak sampai hangus RM6 bilion macam sekarang?

"Mungkin dah sampai kapal-kapal LCS yang diperlukan TLDM? Duit hangus, kapal tak sampai," katanya.

Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan TLDM selaku pengguna akhir dalam projek LCS.

Ia susulan perubahan dilakukan daripada kapal model Sigma kepada model Gowind selepas dicadangkan oleh BNS kepada menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, turut memetik kenyataan Panglima Tentera Laut ketika itu, Abdul Aziz Jaafar, bahawa ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan keputusan itu.

Beliau turut mengesahkan tiada satu pun daripada LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS, yang memperoleh projek itu secara rundingan terus.

Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan enam unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada kerajaan.

Susulan laporan PAC itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan pihaknya akan mematuhi semua saranan bagi projek terbabit.

Berita Harian X