Khamis, 4 Ogos 2022 | 1:40pm
Malaysia berusaha menangani isu pemerdagangan orang. - Foto hiasan NSTP/ROSELAN AB MALEK
Malaysia berusaha menangani isu pemerdagangan orang. - Foto hiasan NSTP/ROSELAN AB MALEK

Buruh paksa: KDN hantar video ke AS

KUALA LUMPUR: Laporan lebih lengkap bersama dokumentari mengenai usaha menangani pemerdagangan orang akan dihantar ke Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang, sebagai penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata dokumentari itu termasuk mengenai nasib mangsa kes pemerdagangan yang diselamat yang dilindungi dan dibebaskan.

Katanya, langkah itu usaha terbaharu KDN bagi memberikan gambaran sebenar usaha anti-pemerdagangan orang yang dilakukan kerajaan.

"Berbelas tahun kita menghantar laporan. Kali ini saya maklumkan kita akan hantar video kita buat operasi, penahanan (penjenayah pemerdagangan orang) , dan video mangsa di pusat (perlindungan) .

"Ini kita buat nak menunjukkan bahawa tugas (anti-pemerdagangan) ini kita sudah dilakukan dan kita mahu maklumkan kepada dunia, kita tidak memandang ringan, malah sentiasa memastikan tidak berlaku pemerdagangan orang dalam negara kita," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Anti-Pemerdagangan Orang Sedunia 2022 hari ini.

Beliau mengulas mengenai kedudukan Malaysia yang terus kekal di berada pada tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2022.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Hamzah berkata, usaha itu juga bagi menaikkan kedudukan Malaysia pada tahap dua berbanding tiga yang dicapai ketika ini.

Hamzah dan Rina melepaskan burung merpati sebagai gimik perasmian Sambutan Hari Anti-Pemerdagangan Orang Sedunia 2022 di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah, Damansara. - NSTP/Aziah Azmee
Hamzah dan Rina melepaskan burung merpati sebagai gimik perasmian Sambutan Hari Anti-Pemerdagangan Orang Sedunia 2022 di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah, Damansara. - NSTP/Aziah Azmee

Katanya, dengan laporan itu imej Malaysia akan tercalar seolah-olah terbabit dengan buruh paksa yang sudah tentu menyulitkan untuk memasarkan produk di luar negara.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, kerajaan sudah melaksanakan penambahbaikan undang-undang berkaitan dengan isu anti pemerdagangan orang.

"Mac lalu diluluskan pindaan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, penjawat yang terbabit pemerdagangan orang dikenakan hukuman sewajarnya," katanya

Beliau berkata, mengikut statistik polis dari 2020 hingga kini, seramai 33 penjawat awam disiasat dalam kes ada unsur pemerdagangan orang dengan 13 orang sudah dituduh di mahkamah dan 16 dibebaskan, manakala empat orang masih disiasat.

"Statistik Jabatan Imigresen pula menunjukkan 40 pegawai disiasat kes ada unsur pemerdagangan orang dengan enam orang disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, lima disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan 27 dikenakan tindakan tatatertib, termasuk digantung tugas dan dibuang kerja, manakala dua meletakkan jawatan," katanya.

Sementara itu, ditanya dakwaan penganalisis pertahanan, nelayan Vietnam menjadi anggota angkatan laut negara itu, katanya, dakwaan itu perlu disiasat dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang berkaitan.

"Kalau jika ada masalah membabitkan kedua-dua negara (Malaysia dan Vietnam), kita selesaikan secara bersama. Jika membabitkan individu sama ada warganegara kita atau luar yang dilakukan di negara ini, tindakan perlu mengikut perundangan kita," katanya.

Bot nelayan asing cuba menceroboh perairan negara diusir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). - Foto TLDM
Bot nelayan asing cuba menceroboh perairan negara diusir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). - Foto TLDM

Berita Harian X