Jumaat, 29 Julai 2022 | 11:30am
Mohamad Fauzi menyampaikan cendera hati kepada Hasni selepas Majlis Santai Kelab Media Johor malam tadi. - NSTP/Omar Ahmad
Mohamad Fauzi menyampaikan cendera hati kepada Hasni selepas Majlis Santai Kelab Media Johor malam tadi. - NSTP/Omar Ahmad

Formula kerusi tradisi tidak boleh kekal di Johor - Hasni

JOHOR BAHRU: Johor tidak boleh menggunakan formula mengekalkan kerusi tradisi atau 'kerusi selamat', sekiranya Barisan Nasional (BN) Johor mahu menang majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata kemenangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebelum ini tidak akan dapat dicipta semula dalam PRU-15 jika masih menggunakan formula itu.

Katanya, ini kerana terdapat kawasan yang tidak lagi menjadi 'simpanan tetap' seperti di Johor timur antaranya di Parlimen Pengerang, Kota Tinggi, Tenggara dan Mersing.

"Saya tidak menolak terdapat kemungkinan di sesetengah kerusi cabaran bertanding adalah lebih berbanding tempat lain. Menjelang PRU-15 ini kita tidak boleh mengambil mudah setiap kerusi yang dipertandingkan.

"Di Johor, kita tidak menggunakan pendekatan kerusi tradisi. Jadi kita kena kerja kuat di semua kerusi. Kita tidak mahu pengalaman di Mersing sebagai contoh apabila hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau (dalam PRN Johor)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Santai Kelab Media Johor (KMJ) di sini, malam tadi.

Turut hadir Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak yang juga Presiden Persatuan Kelab Media Malaysia.

Hasni yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, membayangkan kira-kira 70 peratus muka baharu akan menjadi calon BN pada PRU 15 di Johor.

Katanya, wajar PRU15 diadakan dalam masa terdekat dan keyakinan itu berasaskan perkembangan terkini dalam negara.

"Saya setuju dengan tandanya PRU 15 akan diadakan dalam waktu terdekat, contohnya Memorandum Persefahaman (MoU) 2.0 antara kerajaan dan pembangkang tidak lagi disambung dan kelulusan rang undang-undang perlembangaan (pindaan) (no 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, semalam.

"Ini sebagai tanda PRU wajar diadakan dalam masa terdekat. Kenapa ada MoU antara semua parti?

"Ini kerana bagi menjamin kestabilan (politik), keadaan terkawal dalam Parlimen, kalau tidak sambung ia tentu perlu diganti dengan sesuatu yang dapat jamin kestabilan yang lebih baik iaitu adakan PRU," katanya.

Berita Harian X