Khamis, 28 Julai 2022 | 6:08pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

2 anak Allahyarham Jamaluddin Jarjis berjaya batalkan saman nenek

KUALA LUMPUR: Dua anak Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis hari ini berjaya membatalkan saman difailkan nenek mereka, Aminah Abdullah berhubung perintah pengagihan sebahagian wang tunai milik Allahyarham yang disimpan dalam bank.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz, membenarkan permohonan Ikhwan Hafiz dan Nur Anis ketika prosiding kes saman itu yang dijalankan secara dalam talian.

Hayatul Akma membenarkan permohonan Ikhwan Hafiz dan Nur Anis selaku defendan untuk membatalkan saman itu dengan alasan ia tidak boleh dikekalkan berdasarkan prinsip undang-undang res judicata kerana fakta sama dikemukakan dalam kes berasingan sudah didengar dan diputuskan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga memutuskan tuntutan saman itu adalah bersifat menindas terhadap defendan dan juga satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Hayatul Akma turut memerintahkan Aminah membayar kos masing-masing sebanyak RM15,000 kepada kedua-dua defendan.

Perkara itu disahkan peguam K Shanmuga yang mewakili Ikhwan Hafiz dan Nur Anis serta peguam Wan Zafran Pawancheek yang bertindak bagi pihak Aminah ketika dihubungi media.

Dalam kes saman itu, Aminah menuntut perintah bahawa pentadbir bersama atau pentadbir terkini harta pusaka berjumlah RM21,351,677.58 yang diketahui semua waris, dengan serta-merta mengagihkan RM2.29 juta kepadanya dalam masa 14 hari dari tarikh perintah berkenaan.

Aminah memfailkan saman terbabit pada 31 Mei tahun lalu dengan mendakwa kedua-dua cucunya selaku pentadbir bersama atau pentadbir terkini mempunyai kawalan ke atas wang RM21.3 juta dalam akaun Jamaluddin di bank tempatan dan asing.

Sebagai ibu Allahyarham Jamaluddin, Aminah mendakwa beliau berhak terhadap satu perenam daripada jumlah disimpan dalam akaun itu berdasarkan kaedah faraid.

Pada 13 Ogos tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Aminah memasukkan 3,000,000 saham syarikat Rantai Wawasan milik bekas Ahli Parlimen Rompin itu sebagai sebahagian aset harta pusaka.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril menolak permohonan Aminah untuk memasukkan saham syarikat Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Wawasan Sdn Bhd ke dalam senarai aset dan liabiliti milik Allahyarham.

Berita Harian X