Selasa, 26 Julai 2022 | 4:56pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Majikan culas bayar gaji minimum

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendedahkan masih terdapat majikan tidak mematuhi pelaksanaan gaji minimum yang berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Presiden, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata pihaknya turut menerima aduan, elaun tetap diterima pekerja setiap bulan dipotong dan dimasukkan di dalam gaji pokok.

Menurutnya, tindakan segelintir majikan itu bagi memenuhi pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan.

"Ini jelas satu pelanggaran hak pekerja dan memerlukan tindakan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"MTUC sudah memaklumkan kepada pekerja yang membuat aduan untuk memuat naik aplikasi digital yang diperkenalkan KSM iaitu Working for Workers (WFW)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MTUC bersetuju dan menyokong usaha kerajaan yang giat berusaha dalam membangunkan kumpulan bakat berkemahiran, produktif dan berpotensi tinggi bagi pekerja di Malaysia.

Katanya, MTUC juga senada dengan kekecewaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila gaji yang ditawar majikan tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan dan kerja anak tempatan.

"MTUC berharap usaha dan sokongan terus daripada KSM dan kerajaan dalam memartabatkan pekerja di Malaysia akan berterusan.

"Kami yakin dan optimis melalui perbincangan yang harmoni secara konsisten dalam platform tripartite Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) juga boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan konsultasi tiga penjuru untuk mencapai kata sepakat demi kesejahteraan pekerja," katanya.

Semalam, Ismail Sabri meluahkan kekecewaan apabila ada majikan yang masih menawarkan gaji di bawah paras gaji minimum selain mengingatkan majikan supaya mematuhi syarat pelaksanaan gaji minimum.

Berita Harian X