Selasa, 26 Julai 2022 | 3:21pm
Penduduk Kampung Iboi menunjukkan Sungai Lata Celak yang menjadi tumpuan pengunjung berkelah sebelum ini dipenuhi pasir dan menjadi lebih tinggi daripada tempat tinggal penduduk. - Foto NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN

Enam kolam ladang durian pecah

BALING: Penduduk Kampung Iboi, Kupang, menggesa semua kolam takungan air projek ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas, ditutup segera, bagi mengelak kejadian kepala air dan banjir berulang.

Abdullah Ahmad, 65, berkata semua air takungan di dalam kolam itu perlu dialir secara perlahan-lahan terlebih dahulu, sebelum semua kolam berkenaan ditutup sepenuhnya.

Beliau berkata, beberapa hari lalu, sekumpulan penduduk kampung mendaki Gunung Inas selama lima jam kerana mahu melihat sendiri kolam yang dikatakan pecah di puncak gunung berkenaan.

Sebahagian daripada tiga kolam takungan di kawasan puncak Gunung Inas yang dikatakan antara punca banjir kilat menjejaskan beberapa kampung di Kupang, Baling, baru-baru ini. Foto dan video ini didedahkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Dewan Rakyat hari ini. - Foto ihsan Ahli Parlimen Baling

"Di kawasan puncak Gunung Inas, mereka menemui dan melihat sendiri enam kolam takungan pecah, selain ada tiga lagi kolam takungan besar masih dipenuhi air di atas gunung sana.

"Kebanyakan kami masih trauma dan bimbang selepas kejadian 4 Julai lalu. Jika tiga lagi kolam takungan yang dianggarkan sedalam enam meter dan seluas padang bola itu pecah, ia boleh menyebabkan kepala air lebih dahsyat dari sebelum ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abdullah antara mangsa yang masih berlindung di Dewan UMNO Kampung Iboi, selepas sebahagian rumahnya musnah akibat kejadian yang turut mengorbankan tiga nyawa penduduk lain.

Sebahagian daripada tiga kolam takungan di kawasan puncak Gunung Inas yang dikatakan antara punca banjir kilat menjejaskan beberapa kampung di Kupang, Baling, baru-baru ini. Foto dan video ini didedahkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Dewan Rakyat hari ini. - Foto ihsan Ahli Parlimen Baling
Sebahagian daripada tiga kolam takungan di kawasan puncak Gunung Inas yang dikatakan antara punca banjir kilat menjejaskan beberapa kampung di Kupang, Baling, baru-baru ini. Foto dan video ini didedahkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Dewan Rakyat hari ini. - Foto ihsan Ahli Parlimen Baling

Seorang lagi penduduk yang mengalami nasib sama, Abidin Md Ghani, 54, berkata keluarganya kini tidak pernah tenang setiap kali melihat cuaca mendung dan awan gelap sekitar puncak Gunung Inas.

Katanya, bencana yang berlaku menyebabkan Sungai Kupang menjadi sangat cetek dan beraliran deras sehingga mengubah perkampungan, terutama Lata Chelak yang terletak berhampiran sungai.

Kesan aliran air deras dan puing dari Gunung Inas dalam kejadian pada 4 Julai lalu.
Kesan aliran air deras dan puing dari Gunung Inas dalam kejadian pada 4 Julai lalu.

"Dahulu sungai terletak kira-kira enam meter dari rumah saya, tetapi kini jaraknya tidak sampai dua meter. Sungai Kupang menjadi semakin lebar dan dipenuhi pasir yang dibawa dari gunung, batu besar sekitar Lata Chelak pula sudah habis ditimbus pasir.

"Semua pasir perlu dikorek semula bagi mendalamkan sungai, benteng pasir yang dibina di kawasan tebing tidak akan mempu menahan aliran deras kepala air, sekiranya kolam takungan di puncak Gunung Inas pecah," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Salleh, 62, berkata petani tidak lagi dapat mengusahakan tanaman sawah sejak lima tahun lalu, selepas saliran air ke petak sawah tersumbat kerana dipenuhi pasir akibat projek ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas.

Katanya, kebanyakan petani terpaksa menukar tanaman padi kepada tanaman seperti pisang dan kelapa sawit kerana saliran yang sepatutnya membekalkan air ke petak sawah tidak lagi berfungsi.

"Dalam kejadian 4 Julai lalu, saya kerugian kira-kira RM6,000 apabila 500 pokok pisang yang ditanam di kebun berdekatan tebing Sungai Kupang, musnah sepenuhnya, selain pagar yang baharu dipasang turut dihanyutkan banjir.

"Sampai bila penduduk perlu tanggung kerugian dan kemusnahan harta benda. Nyawa kami seperti telur di hujung tanduk, sudah tiga nyawa terkorban.

"Kerajaan tolong buat sesuatu agar kolam takungan di puncak Gunung Inas dapat ditutup," katanya.

Kesan aliran air deras dan puing dari Gunung Inas dalam kejadian pada 4 Julai lalu.
Kesan aliran air deras dan puing dari Gunung Inas dalam kejadian pada 4 Julai lalu.

Pada 17 Julai lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Air mengesahkan punca banjir di beberapa kampung di Baling ialah kolam takungan yang dibina bagi projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas, pecah.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata punca itu dikesan melalui kajian yang dilaksana kakitangan agensi di bawah kementerian itu sebaik tragedi itu berlaku.

Dalam kejadian banjir dan kepala air berkenaan, kira-kira 800 penduduk sekitar Kupang terjejas, selain turut mengorbankan tiga nyawa termasuk wanita hamil empat bulan dan mengakibatkan 17 rumah ranap sepenuhnya serta ratusan kediaman rosak teruk.

Berita Harian X