Isnin, 25 Julai 2022 | 8:06pm

'Potong gaji menteri selesai inflasi? Don't play politics!'

KUALA LUMPUR: Langkah pemotongan gaji dan elaun menteri serta timbalan menteri yang dicadang beberapa pihak, tidak akan menyelesaikan masalah inflasi yang membelenggu negara dan dunia ketika ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan kadar potongan gaji dan elaun anggota Kabinet tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu inflasi dan kenaikan harga barang.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang mengusulkan cadangan pemotongan gaji dan elaun berkenaan untuk 'berhenti bermain politik' dan memberi fokus pada kaedah yang benar-benar mampu menyelesaikan isu inflasi secara tuntas.

"Boleh kamu namakan satu negara yang dapat menurunkan kadar inflasi menerusi pemotongan (gaji dan elaun menteri)?

"Katalah kamu potong RM10,000 daripada setiap menteri. Darab dengan 36 (jumlah menteri), berapa jumlah wang yang kamu dapat?

"Boleh kamu jamin masalah inflasi selesai dan harga barang tak naik? Come on, don't play politics (jangan main politik)," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan beberapa pihak yang menggesa gaji serta elaun menteri dan timbalan menteri dipotong, susulan inflasi dan kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat ketika ini.

Antara yang mengusulkan cadangan itu adalah 20 gerakan mahasiswa yang menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri untuk menunjukkan kebersamaan mereka bersama rakyat.

Selain itu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, turut mencadangkan gaji menteri dipotong 20 peratus bagi menunjukkan empati terhadap negara ketika rakyat bergelut dengan krisis ekonomi akibat COVID-19 dan perang Russia-Ukraine.

Ketika ini, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 memperuntukkan gaji bulanan Perdana Menteri berjumlah RM22,826.65, Timbalan Perdana Menteri pula berjumlah RM18,168.15.

Menteri diperuntukkan gaji bulanan RM14,907.20, manakala Timbalan Menteri berjumlah RM10,847.65, dengan semuanya tidak termasuk elaun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, pada sidang media di Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, pada sidang media di Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X