Isnin, 25 Julai 2022 | 7:30pm
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) menghadiri Sesi Bersama Fraternity Smart Farming di Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) menghadiri Sesi Bersama Fraternity Smart Farming di Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail.

MOSTI jadi pemudah cara teknologi pertanian pintar

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia menjadi pemudah cara kepada usahawan pertanian untuk menggalakkan mereka mengadaptasi teknologi pertanian pintar pada peringkat awal.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia berikutan penggunaan teknologi pada peringkat awal membabitkan kos tinggi, tetapi ia akan mengurangkan kos selepas matang, menjadi lebih mampan berbanding kaedah pertanian konvensional.

"Dengan pertanian pintar, petani dapat memulakan tanaman secara berterusan, berbanding kaedah konvensional perlu mengosongkan tanah sebelum memulakan penanaman baharu.

"Jadi kita akan membantu usahawan termasuk menawarkan mereka modal awal teroka pertanian pintar, kerana daripada sesi libat urus, mereka menyuarakan kesukaran mendapatkan bantuan awal.

"Mereka bersedia menceburi pertanian pintar ini jika kerajaan menyediakan beberapa insentif untuk menggerakkan teknologi awal yang mungkin membabitkan kos sedikit tinggi," katanya pada sidang media di ibu pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan sesi libat urus pertanian pintar bersama pemegang taruh yang terdiri daripada wakil MOSTI, jabatan, agensi dan pihak industri.

Dr Adham berkata, sejak inisiatif Bilik Gerakan Penyelesaian Teknologi MOSTI yang dimulakan pada 10 Jun lalu, sebanyak 12 siri pertemuan dan mesyuarat diadakan bagi memperoleh maklum balas berhubung teknologi yang boleh membantu menangani isu sekuriti makanan negara.

Katanya, kerajaan melalui Agrobank menyediakan pinjaman sebanyak RM800 juta yang boleh dimanfaatkan usahawan untuk membangunkan teknologi pertanian pintar.

"Namun bagi mereka yang tidak berjaya mendapat pembiayaan bank, masih boleh dibantu oleh agensi seperti Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP) untuk memohon ekuiti pelaburan atau pembiayaan Malaysia Debt Venture (MDV)," katanya.

Dalam pada itu, mengenai sesi libat urus, beliau berkata MOSTI serta beberapa agensi bersedia membangunkan aplikasi yang dipanggil ekosistem peruncitan yang mana membantu usahawan memasarkan produk tepat pada masanya sebelum berlakunya pembaziran.

"Selain itu, MOSTI komited memperkenalkan teknologi pertanian supaya lebih ramai berminat dengan pertanian dan membudayakan sebagai salah satu elemen sekuriti makanan.

"Bagi pihak mereka (pengusaha), mereka sedia membantu memastikan import makanan negara dikurangkan dengan penggunaan teknologi sepenuhnya di semua lapangan sama ada kawasan bandar atau luar bandar dan juga dengan penggunaan rumah atau kilang terbiar dengan pertanian menegak boleh diusahakan," katanya.

Dr Adham berkata, beberapa penyelesaian teknologi dikenal pasti MOSTI antaranya automasi sistem fertigasi, pertanian menegak, akuaponik beraplikasikan kecerdasan buatan yang mampu beroperasidi kawasan terpencil serta penggunaan biobaja pintar, teknologi penjerap nutrien dan pemulihan tanah.

"Penyelesaian berlandaskan teknologi ini adalah sokongan MOSTI kepada kesinambungan usaha yang sedang dan sudah dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

"Produk dan teknologi yang dikenal pasti MOSTI akan dibincangkan secara terperinci dengan MAFI, Kementerian Kerajaandan Perumahan Tempatan dan Kementerian Wilayah Persekutuan," katanya.

Berita Harian X