Rabu, 20 Julai 2022 | 3:43pm

Kerjasama PERKESO, PPZ-MAIWP bantu kebajikan rakyat

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi menjalinkan kerjasama menerusi program 'Social Synergy'.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata program 'Social Synergy' adalah inisiatif murni bagi penyelesaian kepada permasalahan sosioekonomi dan isu kebajikan rakyat Malaysia.

Katanya, fokus utama kepada pelaksanaan program yang bermula dari inisiatif proaktif Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi PERKESO adalah kerjasama dengan pelbagai pihak.

"Sehingga kini, lebih 300 rakan terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan wakil rakyat telah menyertai gagasan 'Social Synergy' ini.

"Kerjasama strategik ini berjaya membantu individu yang memerlukan sejak 2019 dan sehingga kini sebanyak 12,940 kes sudah disalurkan kepada agensi di bawah 'Social Synergy'.

"Malah, program yang dilancarkan pada tahun 2019 ini turut mendapat pengiktirafan 'Best Practice Certificate with Special Mention' daripada International Social Security Association (ISSA), pada Februari lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani MoU dengan PPZ-MAIWP di Menara PERKESO di sini, hari ini.

PERKESO diwakili Mohammed Azman, manakala PPZ-MAIWP diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman, berkata pemeteraian dengan dengan PPZ-MAIWP menerusi 'Social Synergy' akan membuka lembaran baharu untuk kedua-dua agensi dalam menyediakan perlindungan keselamatan sosial yang lebih holistik, efektif dan menyeluruh kepada rakyat Malaysia.

Katanya, selain kerjasama menerusi program berkenaan, PERKESO dan PPZ-MAIWP turut akan bekerjasama dalam beberapa bidang lain seperti perkongsian data, pengurusan dana wakalah, promosi kesedaran pembayaran zakat, perlindungan keselamatan sosial pekerjaan sendiri dan intervensi pasaran buruh.

"Kami juga terharu apabila dimaklumkan PPZ-MAIWP sudi menyalurkan dana wakalah yang diuruskan mereka untuk menampung bayaran baki sebanyak 20 peratus daripada caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri kepada usahawan asnaf di seluruh negara, di bawah program SPS Padanan Caruman.

"Kami menyanjung tinggi usaha PPZ-MAIWP ini demi memastikan jaringan perlindungan sosial dapat diperluas kepada lebih ramai individu yang bekerja sendiri.

"Malah, konsep 'Social Synergy' yang berteraskan amalan kebaikan kepada setiap insan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa adalah bertepatan dan amat dituntut dalam agama Islam," katanya.

Sementara itu, Abdul Hakim, berkata kerjasama itu bukan sekadar permulaan strategik antara dua organisasi tetapi lebih sebagai penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama baik yang sedia berlangsung mahupun di masa-masa akan datang.

Beliau berkata, usaha itu juga dapat meningkatkan kesedaran berzakat dalam kalangan majikan dan anggota PERKESO sekali gus bersama-sama membantu lebih ramai yang memerlukan.

Katanya, sehingga Jun lalu seramai 724 kakitangan PERKESO membuat potongan zakat bulanan di PPZ-MAIWP berbanding 563 orang pada 2021.

"Malah jumlah keseluruhan potongan zakat kakitangan PERKESO sehingga Disember 2021 adalah sebanyak RM1.68 juta.

"Dengan termeterainya MoU ini, ia sedikit sebanyak mampu memberi kesedaran serta meningkatkan kutipan zakat dalam kalangan majikan mahupun anggota PERKESO," katanya.

Abdul Hakim berkata, istimewanya membayar zakat di PPZ-MAIWP adalah pembayar berpeluang untuk mendapat Skim Wakalah iaitu dasar pengembalian semula wang zakat untuk diagihkan sendiri kepada asnaf iaitu dari 25 peratus hingga 50 peratus.

Katanya, melalui kerjasama itu juga, PPZ-MAIWP menawarkan Skim Wakalah atau Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat sebanyak 25 peratus hingga 50 peratus oleh pihak MAIWP.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (kanan) menandatangani memorandum persefahaman antara PERKESO dan PPZ-MAIWP di Menara PERKESO Jalan Ampang. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (kanan) menandatangani memorandum persefahaman antara PERKESO dan PPZ-MAIWP di Menara PERKESO Jalan Ampang. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X