Isnin, 18 Julai 2022 | 1:39pm
Foto fail BERNAMA
Foto fail BERNAMA

KASA sahkan kolam takungan punca banjir di Baling

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengesahkan punca banjir di beberapa kampung di Baling, awal bulan ini, disebabkan kolam takungan yang dibina di Projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas, pecah.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata punca itu dikesan melalui kajian yang dilaksanakan oleh kementerian itu.

"Kajian mendapati adanya satu kolam takungan yang pecah yang mana ia menyebabkan berlakunya banjir di beberapa kampung termasuk Kampung Iboi, Kampung Padang Lengkuas, Bukit Hangus dan Kampung Pisang.

"Kalau dilihat dari kadar hujan, ia tidak lebat sekadar 36 hingga 40 milimeter (mm) sahaja," katanya menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai situasi banjir di Gunung Inas, Baling, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, susulan kejadian itu, kerajaan meluluskan enam projek bagi membendung kejadian yang sama di situ antaranya membabitkan pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) fasa satu dan dua di Baling dengan peruntukan RM175 juta.

Beliau berkata, kerajaan juga akan membina dua struktur sabo bagi mengurangkan risiko aliran puing bernilai RM20 juta selain kerja mendalamkan sungai serta pembaikan jambatan dengan peruntukan RM6 juta.

Tuan Ibrahim berkata, KASA akan mengarusperdanakan adaptasi perubahan iklim dalam pengurusan banjir bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim.

Beliau berkata, ia turut mengambil kira integrasi pengurusan risiko bencana melalui mitigasi jangka pendek dan jangka panjang pengurusan banjir membabitkan pendekatan secara struktur dan bukan struktur.

"Antara perkara yang diberi perhatian adalah peningkatan reka bentuk struktur utama pengurusan banjir daripada 100 tahun kala purata ulangan (ARI) kepada 200 tahun setelah mengambil kira faktor perubahan iklim.

"Selain itu, KASA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merancang pelan jangka pendek dan jangka panjang dengan memfokuskan kepada kerjamendalam, menaik taraf dan membaik pulih sistem pengurusan banjir di seluruh negara.

"Ia dilakukan melalui pendekatan Pengurusan Banjir Secara Bersepadu (IFM)," katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang mahu tahu hala tuju pengurusan banjir negara dalam aspek daya tahan.

Tuan Ibrahim berkata, IFM akan mengimbangi kaedah struktur dan bukan struktur secara optimum dalam melindungi serta mengurangkan risiko banjir sesuatu kawasan.

Beliau berkata, kaedah struktur yang digunakan termasuk peningkatan kapasiti longkang utama dan sungai, pembinaan empangan atau takungan air pinggiran sungai (TAPS), pembinaan struktur sabo, kolam takungan dan lencongan sungai.

"Sementara kaedah bukan struktur memfokuskan kepada pengurusan dataran banjir, perancangan guna tanah, kawalan dan pematuhan pembangunan, sistem ramalan dan amaran banjir, peta banjir serta pelaksanaan program kesedaran," katanya.

Berita Harian X