Isnin, 18 Julai 2022 | 11:23am

Kerajaan sedang rangka subsidi bersasar, cari mekanisme paling sesuai - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mencari mekanisme paling sesuai dalam merangka subsidi bersasar demi untuk rakyat yang berhak menerimanya sekali gus mengelak tiada ketirisan dan golongan itu yang tertinggal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mekanisme itu memerlukan perincian dan bukan sesuatu yang mudah untuk ditentukan.

"Cadangan subsidi bersasar bukan sekarang tetapi sejak beberapa kerajaan sebelum ini lagi tetapi masih belum boleh dilaksana kerana belum ada mekanisme khusus untuk pastikan tidak ada rakyat yang tercicir dan tertinggal.

"(Sebagai contoh), adakah kita perlu membeli gula atau minyak masak menggunakan kupon? Adakah kupon boleh digunakan atau menggunakan MyKad untuk membeli dan sebagainya. Ini yang sedang kita perincikan.

"Ini kita akan bentangkan di sini, apakah cara yang kita gunakan untuk subsidi bersasar ini," katanya di sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang bertanya mengenai tindakan kerajaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup rakyat kerana mendakwa kerajaan mengambil pendekatan konvensional dan tidak ada persediaan untuk melakukan perubahan struktur.

Menceritakan pengalamannya ketika bertugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Ismail Sabri berkata, banyak persoalan yang timbul ketika mekanisme ditetapkan bagi pemberian subsidi bersasar untuk petrol RON95.

"Siapa yang layak dapat, kita kata kereta 2,000 cc ke bawah, jadi pelbagai isu yang timbul mengenainya. Sebagai contoh, seorang imam kampung memakai Volvo lebih 2,000 cc tapi harga kereta itu RM10,000, yang mana tidak boleh mendapat subsidi.

"Ada kereta mini yang kecil yang berharga ratusan ribu tapi layak mendapat subsidi kerana di bawah 2,000 cc. Jadi, ini antara perkara yang perlu diperincikan," katanya.

Menjawab soalan asal Anwar mengenai langkah yang diambil untuk menangani kenaikan kos sara hidup, Perdana Menteri berkata, komitmen kerajaan dibuktikan dengan meningkatkan peruntukan subsidi kepada lebih RM77 bilion, berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion bagi 2020.

Katanya, daripada jumlah ini, RM1.1 bilion diperuntukkan kepada subsidi ayam dan telur, menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat.

"Sekarang kita melihat hasilnya, yang mana harga sudah mula stabil. Melalui cerapan data harga mingguan, kerajaan mendapati kesan positif kerana harga sebenarnya berada di bawah harga kawalan RM9.40 bagi Semenanjung.

"Harga purata nasional mingguan sehingga 9 Julai 2022 adalah RM9.22 dan Pahang merekodkan harga terendah iaitu sebanyak RM8.95," katanya.

Perdana Menteri berkata, selain memberi subsidi, kerajaan juga menambah nilai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan sehingga kini, jumlah maksimum yang diterima B40 adalah sebanyak RM2,600 setahun.

"Insya Allah, kita akan tengok dari segi keadaan. Kalau perlu naik, kita naikkan dan kalau harga barang sudah stabil, kita tidak naikkan lagi," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto
Berita Harian X