Khamis, 14 Julai 2022 | 9:43pm
Mahdzir ketika melawat tapak pembinaan rumah baharu untuk 17 keluarga mangsa banjir Baling di Desa KEDA Sadek, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Mahdzir ketika melawat tapak pembinaan rumah baharu untuk 17 keluarga mangsa banjir Baling di Desa KEDA Sadek, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

KPLB bina rumah baharu 17 keluarga mangsa banjir Baling

BALING: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membina rumah baharu kepada 17 keluarga yang hilang tempat tinggal dalam bencana banjir dan kepala air di Baling pada 4 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata rumah jenis teres itu akan dibina di atas tanah berkeluasan lebih satu hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Desa KEDA Sadek di Kupang, di sini, dengan anggaran kos RM1.5 juta.

"Kita dapati di Desa KEDA Sadek ini ada dua lokasi untuk pembinaan rumah. Satu adalah padang di mana anak-anak muda main bola dan satu lagi di tanah kosong tepi jalan.

"Saya sudah berbincang dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi, Pengurus Besar KEDA, Datuk Kamarudin Abd Akib dan kita bersetuju menjadikan tapak tanah di tepi jalan sebagai perumahan untuk mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke tapak tanah itu di Desa KEDA Sadek di sini hari ini.

Mahdzir berkata, rumah itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan dan akan diberikan kepada keluarga yang hilang tempat tinggal atau rumah mengalami kerosakan sehingga 80 peratus serta tidak boleh didiami berikutan bencana itu.

"Pembinaan rumah ini mungkin mengambil sedikit masa kerana akan membabitkan kelulusan kebenaran merancang yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, laporan terkini menunjukkan lebih 400 rumah mangsa banjir disenaraikan untuk dibaik pulih, berbanding laporan awal sebanyak 60 rumah.

"KPLB sudah mengadakan perbincangan dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menyegerakan kerja baik pulih kerosakan rumah mangsa banjir," katanya.

Berita Harian X