Khamis, 14 Julai 2022 | 8:37pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Ke arah aspirasi bebas asap

MEROKOK adalah isu yang sudah lama kita cuba tangani, namun belum menunjukkan hasil membanggakan.

Lebih teruk, ancaman kesihatan awam terbesar itu menunjukkan statistik kira-kira 4.8 juta perokok di negara ini dan dianggarkan lebih daripada 27,200 kematian rakyat Malaysia setiap tahun berkaitan dengan tabiat merokok.

Biarpun terdapat pihak berwajib melaksanakan inisiatif seperti Program Berhenti Merokok di klinik dan meletakkan tanda larangan merokok di premis, arahan berkenaan seolah-olah langsung tidak diendahkan.

Terkini, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan undang-undang melarang aktiviti merokok terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 (Generational End Game).

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata sekiranya cadangan yang bakal diperdebatkan di Parlimen dalam masa terdekat ini diluluskan dan dikuatkuasakan dengan berkesan, ia boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan lebih baik secara ketara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Seiring cadangan berkenaan, pembaca boleh memberi pandangan mengenai perkara ini.

Rokok atau tembakau adalah ancaman terbesar dan faktor risiko utama menyebabkan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menyumbang lebih daripada setengah juta kematian di rantau ASEAN setiap tahun.

Bagi perokok di luar sana, KKM menyediakan perkhidmatan percuma di lebih 900 klinik berhenti merokok yang terdiri daripada klinik kesihatan, farmasi, komuniti dan hospital.

Kira-kira 2,973 orang atau 27.6 peratus daripada 10,791 perokok yang datang mendapatkan bimbingan dan khidmat nasihat berjaya berhenti merokok.

Sementara itu, pengamal perubatan dan Pengerusi, Pengasas dan Pengarah Persatuan Pengurangan Kemudaratan Tembakau Australia, Dr Colin Mendelsohn, berkata sekiranya terapi konvensional kurang berkesan, sudah tiba masanya doktor pertimbangkan vape bernikotin iaitu salah satu produk dalam strategi Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) yang berasaskan bukti saintifik untuk dibincangkan dengan perokok.

Ia lebih berkesan daripada kaedah konvensional seperti tampalan nikotin, gula-gula getah bernikotin dan boleh digunakan sebagai bantuan berhenti jangka pendek atau sebagai alternatif jangka panjang yang kurang memudaratkan berbanding merokok.

‚Äč‚ÄčAlternatif lain seperti produk tembakau dipanaskan (heat-not-burn) dan e-rokok turut menunjukkan kapasiti pengurangan kemudaratan kepada pengguna yang telah disahkan oleh kajian-kajian bebas.

Bagaimanapun, beliau menambah, doktor dan pengamal perubatan akan lebih bersedia menyokong produk tembakau alternatif dan penggunaannya sebagai rawatan THR jika pihak berkuasa kesihatan di negara mereka menunjukkan sokongan yang lebih terbuka seperti di United Kingdom dan New Zealand.

Berita Harian X