Ahad, 10 Julai 2022 | 11:20am
Tan Sri Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye

KKM perlu pandang serius isu kesihatan mental - Lee Lam Thye

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu memandang serius isu kesihatan mental dan depresi dalam kalangan rakyat negara ini kerana ia akan memberi pelbagai kesan buruk kepada negara.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menitikberatkan soal itu, termasuk mengadakan sesi kaunseling dan pelbagai inisiatif program menggunakan komunikasi dua hala supaya individu mengalami masalah berkenaan mampu meluahkan perasaan atau tekanan yang dialami.

"Rakyat seakan begitu terkesan dengan isu kenaikan harga barang, terutama bagi mereka yang mengalami kesempitan hidup. Ini membawa kepada pelbagai kesan.

"Kesan ini secara tidak langsung membawa kepada sejauh manakah kepentingan tahap kesihatan mental perlu dibincangkan. Isu kesihatan mental adalah sesuatu yang jarang dikupas dalam kalangan rakyat Malaysia, disebabkan itu isu ini kurang diambil peduli oleh rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 mendedahkan, satu pertiga daripada rakyat Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas mempunyai masalah mental.

"Situasi ini sudah pasti membimbangkan masa depan negara dengan masalah mental bukan saja terjadi dalam kalangan penduduk dewasa, tetapi turut berlaku kepada remaja.

"Sekiranya tidak diselesaikan, ia akan memberi masalah kepada masa hadapan negara.

"Kesihatan mental dalam kalangan remaja boleh berpunca daripada persekitaran terutama akibat tekanan pelajaran, namun perkara yang membimbangkan apabila isu ini tidak diselesaikan kerana kebanyakan individu yang mengalaminya gemar memendamkan perasaan," katanya.

Katanya, tahap ketidakmampuan untuk menanggung beban perasaan akan membawa kepada situasi jauh lebih serius seperti kejadian seorang lelaki mengelar isteri dan anak yang baru dilahirkan.

"Kejadian ini dikatakan berlaku disebabkan bagaimana si suami didakwa mengalami masalah tekanan perasaan yang melampau sehingga membawa kepada kejadian pembunuhan keluarga sendiri.

"Negara ini turut digemparkan dengan kes pembunuhan sepasang suami isteri yang didakwa dibunuh oleh ahli keluarganya sendiri," katanya.

Lam Thye berkata, pelbagai faktor boleh mendorong kepada kehilangan kewarasan akal fikiran individu yang mengalami tekanan perasaan.

"Satu daripadanya juga dikaitkan dengan dadah. Dadah adalah musuh kepada gangguan ketidakwarasan sehingga menyebabkan sanggup membunuh ahli keluarga sendiri," katanya.

Pada Mei tahun lalu, KKM mendedahkan sebanyak 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan diterima membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stress akut, keresahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku bunuh diri.

Berita Harian X