Sabtu, 9 Julai 2022 | 12:02pm
Mohammed Azman (tiga dari kanan) pada majlis Pelancaran Program Saringan Kesihatan PERKESO 2.0. - Foto PERKESO
Mohammed Azman (tiga dari kanan) pada majlis Pelancaran Program Saringan Kesihatan PERKESO 2.0. - Foto PERKESO

Program Saringan Kesihatan PERKESO 2.0 ditambah baik

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkenalkan beberapa penambahbaikan dalam pelaksanaan Program Saringan Kesihatan PERKESO 2.0 atau HSP 2.0 yang kembali dijalankan mulai 1 Jun lalu.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata melalui HSP 2.0, PERKESO membawa pembaharuan parameter saringan kesihatan dengan memperkenalkan saringan kesihatan mental dan penilaian risiko kesihatan keluarga bagi memastikan programnya kekal kondusif dan relevan terhadap golongan pekerja.

"Berdasarkan statistik PERKESO, seramai 3.6 juta pekerja layak mendapatkan saringan kesihatan percuma di bawah HSP dan daripada jumlah itu, seramai 576,902 pekerja sudah menjalani saringan kesihatan terbabit.

"Justeru, HSP 2.0 ini dibuka kepada pencarum berusia antara 30 hingga 39 tahun dan mempunyai risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).

"Kriteria baharu yang diperkenalkan ini bertujuan memperluaskan akses saringan kesihatan PERKESO kepada pelbagai peringkat umur pekerja, sekali gus membolehkan lebih ramai pencarum dapat menikmati insentif ini," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sebelum ini, operasi HSP terpaksa ditangguhkan sementara dari 1 April 2020 hingga 31 Mei lalu bagi memberi laluan dan menyokong usaha kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.

Mohammed Azman berkata, pelaksanaan semula HSP menerusi versi 2.0 adalah sejajar dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI) yang akan dilancarkan oleh kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam bulan ini.

"Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan berumur 40 tahun ke atas untuk menjalani saringan kesihatan," katanya.

Katanya, saringan kesihatan adalah penting bagi pengesanan dan pencegahan awal NCD, selain berperanan mencegah isu hilang upaya dan kematian awal dalam kalangan pekerja.

"Berdasarkan statistik PERKESO pada tahun lalu, seramai 16,906 pencarum dilaporkan hilang upaya atau meninggal dunia akibat NCD, dengan purata 46 kes dilaporkan kepada PERKESO setiap hari.

"Oleh itu penting bagi semua pihak terutama majikan untuk menyokong pembudayaan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pekerja mereka termasuk menggalakkan pekerja untuk menjalani saringan kesihatan secara rutin agar kekal sihat dan produktif," katanya.

Terdahulu, PERKESO dengan kerjasama Sime Darby Plantation Berhad (SDP) menganjurkan Majlis Pelancaran HSP 2.0 di Sime Darby Plantation Academy, Pulau Carey, Klang, semalam.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Upstream Malaysia, SDP, Roslin Azmy Hassan.

Bersempena dengan pelancaran HSP 2.0 itu, PERKESO turut menganjurkan Program Turun Padang bagi pelaksanaan HSP 2.0 kepada kira-kira 150 orang pekerja SDP di akademi itu.

Dalam pada itu, PERKESO juga melaksanakan saringan kesihatan asas melalui Mobile Health Screening and Injury Prevention Unit yang menggunakan bas HSP bagi memberi peluang kepada lebih ramai pekerja di SDP untuk menjalani saringan kesihatan.

Saringan kesihatan asas melalui Mobile Health Screening and Injury Prevention Unit yang menggunakan bas HSP. - Foto PERKESO
Saringan kesihatan asas melalui Mobile Health Screening and Injury Prevention Unit yang menggunakan bas HSP. - Foto PERKESO

Sementara itu, Roslin berkata, sebagai sebuah syarikat yang sentiasa menitikberatkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pekerja, SDP berbangga dan berterima kasih kepada PERKESO kerana memilih syarikatnya sebagai lokasi pelancaran HSP 2.0.

"Kami percaya, HSP 2.0 akan terus mendapat sambutan orang ramai dan meningkatkan lagi keprihatinan warga kerja di negara ini kepada penjagaan dan pemantauan kesihatan diri," katanya.

Berita Harian X