Khamis, 7 Julai 2022 | 4:17pm
Nota tulisan tangan Datuk A Samad Said kepada BH.
Nota tulisan tangan Datuk A Samad Said kepada BH.

Sasterawan Negara mahu BH jadi peneraju laporan tepat

KUALA LUMPUR: Tokoh sastera tanah air yang mengikuti perkembangan BH sejak edisi pertamanya dilancarkan pada 1 Julai 1957, mahu melihat akhbar itu terus menjadi peneraju kepada laporan yang sahih, cepat dan tepat seiring perkembangan terkini media massa.

Menitip ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-65 akhbar ini, Sasterawan Negara (SN), Datuk A Samad Said, mengakui BH sentiasa pantas dalam menyampaikan maklumat khususnya berita penting kepada pembaca.

"Saya melihat akhbar BH sentiasa sempat menghantar berita dan kisah penting sekini mungkin.

"Ternyata selalunya kita dibawa ke hadapan oleh laporan dan ulasannya. Syabas!" katanya dalam catatan bertulis tangan yang diperoleh BH, hari ini.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said. - Foto fail NSTP
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said. - Foto fail NSTP

Datuk A Samad Said pernah menjadi Pengarang Kumpulan BH pada 1976 hingga 1977. - Foto fail NSTP
Datuk A Samad Said pernah menjadi Pengarang Kumpulan BH pada 1976 hingga 1977. - Foto fail NSTP

SN keempat itu pernah berkhidmat sebagai Pengarang Kumpulan BH pada 1976 hingga 8 Mac 1978.

Jawatan terakhir beliau bersama Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) adalah selaku Ketua Pengembangan Sastera.

Sementara itu, SN ke-13, Datuk Dr Zurinah Hassan, BH akan terus unggul dan meneruskan legasi akhbar bercetak walaupun perlu bersaing dengan ledakan media sosial, selain disaingi portal dalam versi digital.

"Saya harap BH akan terus menyediakan laporan yang sahih, cepat dan tepat kerana masyarakat memerlukan media yang boleh dipercayai, terutama di sebalik pelbagai berita meragui yang dikongsi di media sosial.

"Bagi saya, BH sehingga kini kekal sebagai platform berita terbaik dan bertanggungjawab dalam setiap laporan disediakan," katanya.

Datuk Dr Zurinah Hassan mengenang BH sebagai akhbar pertama menyiarkan karyanya pada 1965. - Foto fail NSTP
Datuk Dr Zurinah Hassan mengenang BH sebagai akhbar pertama menyiarkan karyanya pada 1965. - Foto fail NSTP

Zurinah turut mengimbau nostalgia menghantar karya penulisan di BH seawal 1965.

"Boleh dikatakan BH adalah akhbar bercetak pertama yang menyiarkan karya saya. Saya masih ingat, selalu menghantar karya untuk ruangan Pelajar yang disiarkan setiap Rabu.

"Daripada situlah saya mula membina nama dan berkenalan dengan ramai penulis seangkatan," katanya.

Berita Harian X