Rabu, 6 Julai 2022 | 3:24pm
Dari kiri Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Rafizi Ramli dan Syed Badli Shah Syed Osman.
Dari kiri Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Rafizi Ramli dan Syed Badli Shah Syed Osman.

Dakwa 'kem' Anwar cuba halang kemenangan, dua pemimpin PKR jawab Rafizi

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli semalam mendakwa tuntutan supaya audit forensik dijalankan terhadap pemilihan kepemimpinan parti baru-baru ini, adalah permainan segelintir ahli PKR yang kalah dalam proses berkenaan.

Media melaporkan, bekas Ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan, menegaskan beliau sejak awal menyatakan pendirian demikian kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa.

Namun, dakwa Rafizi, mereka yang rapat dengan Anwar terus mempersoal pemilihan parti dan berasa boleh mempengaruhi keputusan untuk memastikan beliau tidak disahkan sebagai pemenang atau untuk membina persepsi kononnya kemenangannya dengan jurang besar, disebabkan manipulasi besar-besaran.

Kepada dakwaan berkenaan, dua pemimpin PKR hari ini meminta Rafizi melakukan muhasabah diri dan tidak memperlekehkan tugas JPP serta kewibawan presiden parti.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menggesa Rafizi terus memulakan gerak kerja parti, bukannya mempertikaikan proses siasatan dan audit forensik sebelum ini yang menyaksikan kemenangan sudah berpihak kepadanya.

Katanya, proses siasatan termasuk audit forensik mengambil masa sehingga menyebabkan Kongres Nasional parti ditangguhkan.

Dalam hal ini, beliau menegaskan, kemenangan sudah pun berpihak kepada Rafizi dan sudah sampai masanya untuk timbalan presiden berhenti bercakap, sebaliknya bergerak ke hadapan mengukuhkan kedudukan parti bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Saya calon yang kalah, tetap terima kekalahan dengan hati terbuka. Mengapa pula kita cetuskan perkara tidak perlu dengan kaitkan pemimpin tertentu yang rapat dengan presiden.

"Tumpu gerak kerja untuk perkukuh kedudukan parti pada PRU-15," katanya turut menggesa JPP memberi penjelasan berhubung keputusan rasmi yang menyaksikan perubahan keputusan beberapa jawatan utama parti termasuk kekalahan Ketua Wanita PKR Selangor, Rodziah Ismail dengan 32 undi kepada Senator Fadhlina Sidek.

Abdullah Sani berkata, penjelasan itu penting supaya tidak timbul kekeliruan serta keraguan kepada keputusan yang dikeluarkan JPP dan ia seeloknya dibuat pada Kongres Nasional PKR yang dijadualkan 16 dan 17 Julai ini bagi menjamin kewibawaan dan kredibiliti JPP tidak dipertikai.

Sementara itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman, menyifatkan tindakan Rafizi terus mempertikaikan keperluan audit forensik terhadap pemilihan parti, sebagai angkuh dan sombong.

Katanya, Rafizi turut memperlekehkan kewibawaan Anwar dengan tuduhan kononnya terdapat segelintir mereka yang berada dekat dengan presiden berusaha untuk menghalang keputusan rasmi daripada diumumkan.

"Pada 15 Mei 2022, Rafizi sendiri mengeluarkan kenyataan mengakui terdapat masalah teknikal terhadap proses pemilihan parti yang sedang berlangsung ketika itu. Secara tidak langsung beliau beri gambaran proses pemilihan perlu diperkemaskan supaya dilihat lebih telus dan adil.

"JPP dalam satu kenyataan kemudian mengesahkan terdapat cubaan menggodam keputusan parti, tetapi kenapa sekarang Rafizi membangkitkan seolah-olah audit forensik yang sedang dijalankan ini sebagai usaha untuk menghalang beliau daripada menjawat jawatan timbalan presiden?

"Apakah beliau sebenarnya khuatir kemenangannya akan terjejas jika kepincangan proses pemilihan dapat dibuktikan? Tiada keperluan untuk parti dilihat terlalu tergesa-gesa umum kemenangan Rafizi sedangkan ada lebih 1,800 bantahan dari akar umbi yang pertikai ketelusan pemilihan parti," katanya.

Syed Badli Shah berkata, Rafizi seharusnya meraikan proses audit forensik terhadap keputusan pemilihan, bukannya menuding jari ke arah pihak lain, seolah-olah terdapat usaha untuk menyekat kemenangan beliau.

"Bagi menghadapi pilihan raya yang boleh diadakan bila-bila masa, barisan kepemimpinan parti perlu dibentuk seberapa segera dengan meletakkan mereka yang dipilih kerana benar-benar layak, bukannya mereka yang dipilih kerana manipulasi dan penipuan.

"Justeru, saya ingin menasihatkan Rafizi tidak terlalu obses demi mengejar jawatan, sebaliknya jika beliau terbukti dipilih akar umbi, biarlah kemenangan itu kemenangan yang telus dan adil," katanya.

Beliau juga menggesa audit forensik diadakan secara menyeluruh terhadap keputusan pemilihan, termasuk undi dalam talian dan keputusannya mesti dibentangkan secara telus demi menjamin kewibawaan parti.

Berita Harian X