Rabu, 6 Julai 2022 | 2:56pm
Bad cekap mengesan kehadiran narkotik dalam operasi polis. - Foto FB FRIENDS OF PDRM
Bad cekap mengesan kehadiran narkotik dalam operasi polis. - Foto FB FRIENDS OF PDRM
Koperal Willen setia di samping Bad hingga nafas akhirnya. - Foto FB FRIENDS OF PDRM
Koperal Willen setia di samping Bad hingga nafas akhirnya. - Foto FB FRIENDS OF PDRM

'Terima kasih atas khidmatmu, Bad'

KUANTAN: Walaupun sudah lali dengan pelbagai ujian dan cabaran sepanjang bertugas sebagai anggota polis, kehilangan rakan setugas berkaki empat, Bad, pada jam 3 petang kelmarin, meninggalkan kesan mendalam buat Koperal Willen Slamping.

Anjing baka Labrador daripada Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 13 tahun akibat sakit tua itu, adalah rakan setugas pertama Willen.

Anggota polis berusia 34 tahun itu berkata, Bad yang dilahirkan pada 8 November 2008 di Jerman, mula menjadi rakan setugasnya pada 4 Ogos 2011 sebelum anjing pengesan narkotik itu 'direhatkan' pada 2019 akibat faktor usia.

"Saya masih menyelia Bad walaupun ia sudah bersara... memberi makan, memandikan dan membawanya berjalan sebagai senaman.

"Walaupun sudah menerima anjing baharu, Bad tetap istimewa kerana ia adalah anjing pertama saya memandangkan saya tiada haiwan peliharaan," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Willen menyedari 'masa' Bad sudah hampir berakhir selepas rakan setugasnya itu semakin kurang aktif sejak seminggu lalu, termasuk mulai hilang selera makan hingga terpaksa disuapkan.

Malah, katanya, ketika rutin pemeriksaan pada 27 Jun lalu, doktor meminta Willen bersedia kerana keadaan anjing itu semakin merosot.

"Semangat Bad sangat kuat. Ia bertahan lebih lama berbanding jangkaan asal seminggu yang diberikan. Setiap hari saya berjumpa dengannya sehinggalah Isnin lalu saya tahu itu adalah hari terakhirnya kerana Bad begitu lemah ketika saya tiba di sangkar pada jam 8 pagi.

"Ia tidak bertindak balas apabila dipanggil, saya terus bersama dengannya sehingga saya rasa jantungnya semakin lemah. Saya peluk Bad lebih 15 minit dan sedar ia tidak lagi bernafas. Saya usap kepala dan panggil namanya, namun Bad sudah tiada," katanya.

Anak jati Serian, Sarawak itu menambah, walaupun 'garang' ketika bertugas, Bad sebenarnya anjing yang mudah mesra dan manja dibandingkan dengan anjing K9 lain, sekali gus membantu menghilangkan tekanan setiap kali mereka menyertai mana-mana operasi.

Katanya, Bad menunjukkan prestasi cemerlang sejak mereka mula berkursus di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, malah menjadi antara anjing pertama berjaya mengesan dadah yang disembunyikan dan kerap mendapat tempat teratas dalam ujian.

Sementara itu, Pegawai Turus Bantuan Teknik (D6) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Pahang, Asisten Superintendan Chia Che Chau, berkata kecekapan Bad mengesan dadah membawa kepada banyak tangkapan dan paling diingati ialah kejadian pada 2012 serta 2014.

"Dalam sekatan jalan raya di Jalan Gambang-Kuantan pada 2012, Bad mengesan dadah heroin disembunyikan di bawah tempat pengelap cermin hadapan yang sukar dilihat dengan mata kasar.

"Pada 2014, Bad sekali lagi membantu kami apabila mengesan dadah syabu dan heroin yang disorok pada bahagian papan pemuka kereta ketika dibawa menyertai operasi 'snap check'. Bad sangat peka dengan kehadiran dadah," katanya.

Che Chau berkata, jasad Bad disemadikan berhampiran unit K9 IPK Pahang di sini, bersebelahan rakan seperjuangannya, Tho yang mati pada 19 September 2020, juga akibat sakit tua. - BERNAMA

Berita Harian X