Rabu, 6 Julai 2022 | 2:43pm
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique

RM13.07 juta biaya pendidikan prasekolah kanak-kanak India B40

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) memperuntukkan geran kira-kira RM13.07 juta bagi membiayai pendidikan prasekolah 5,164 kanak-kanak India kategori B40 yang berumur antara empat hingga enam tahun.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata geran itu membabitkan pembiayaan yuran pendidikan bagi sesi persekolahan 2022/2023 mulai Mac lalu hingga Februari tahun depan, pemberian buku dan lembaran kerja, 'starter kit' pakaian seragam serta alat tulis dan subsidi bagi penyediaan sarapan pagi untuk kanak-kanak B40 berkenaan.

"Geran itu disalurkan melalui lima organisasi membabitkan 214 prasekolah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur.

"Bantuan itu bertujuan memastikan kanak-kanak India B40 turut mendapat peluang mengikuti pendidikan prasekolah sebagai persediaan untuk memasuki pendidikan formal Tahun Satu kelak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Halimah berkata, inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa khususnya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup pada masa ini. - BERNAMA

Berita Harian X