Sabtu, 2 Julai 2022 | 2:19pm
Ismail Sabri (tengah) beramah mesra bersama perwakilan pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ke-42, hari ini. - Foto BERNAMA
Ismail Sabri (tengah) beramah mesra bersama perwakilan pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ke-42, hari ini. - Foto BERNAMA

GLC, GLIC perlu lantik wakil MTUC sebagai ahli lembaga pengarah

KUALA LUMPUR: Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu melantik wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai Ahli Lembaga Pengarah mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu sebagai usaha menambah nilai ketelusan, selain membolehkan suara pekerja diambil kira dalam semua keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah.

Beliau berkata, menjadi harapan kerajaan supaya wakil pekerja berkenaan turut memainkan peranan dalam urusan pentadbiran nanti.

"Golongan pekerja seharusnya sama-sama menjaga kestabilan, perpaduan dan hubungan industri bukan hanya dalam kalangan pekerja tetapi juga kerajaan dan majikan bagi kejayaan proses pembangunan negara.

"Kepentingan kaum pekerja dan negara perlu diselaras serta semua sikap tidak bertanggungjawab dikikis kerana ia bukan sahaja menjejaskan kepentingan kaum pekerja, malah turut mengganggu sistem masyarakat dan menghalang usaha mencapai perhubungan industri yang harmoni," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan MTUC Ke-42 yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan di sini, hari ini.

Berita Harian X