Sabtu, 2 Julai 2022 | 2:08pm
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Batal lantik Tajuddin jadi duta, PM ingatkan jangan persoal kuasa Agong

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyifatkan desakan supaya pelantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dibatalkan adalah cubaan mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, katanya, cadangan melantik Ahli Parlimen Pasir Salak itu ke jawatan berkenaan sudah pun mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Itu (pelantikan Tajuddin) sudah pun diluluskan oleh Kabinet, sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan sudah pun mendapat perkenan.

"Sepatutnya sudah serahkan watikah tempoh hari, tetapi Yang di-Pertuan Agong gering waktu nak diserahkan dan saya percaya akan diserahkan watikah itu.

"Janganlah kita persoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong pula. Agong dah perkenan, kita pula nak tarik balik, nak desak Agong la tu, maknanya mendesak Yang di-Pertuan Agong kerana baginda yang memberi perkenan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Ke-42, di sini hari ini.

Antara pihak membuat desakan sedemikian adalah EXCO Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atas alasan Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak layak memegang jawatan besar berkenaan, selain bagi menjaga imej negara daripada tercalar.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Wong Hon Wai juga membuat desakan sama dengan menyifatkan cara percakapan Tajuddin amat memalukan negara dan perkara sama turut berlaku dalam insiden lain di Parlimen serta Prasarana sebelum ini.

Berita Harian X