Sabtu, 2 Julai 2022 | 10:53am
Ismail Sabri berucap ketika merasmikan Persidangan Perwakilan MTUC di Auditorium Balai Ungku Aziz, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Kuala Lumpur.- Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ismail Sabri berucap ketika merasmikan Persidangan Perwakilan MTUC di Auditorium Balai Ungku Aziz, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Kuala Lumpur.- Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Perdana Menteri gesa MTUC wujud pelan pendidikan holistik

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan geran tahunan bernilai RM4 juta bagi melaksanakan program kesedaran dan latihan yang signifikan kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bertujuan mewujudkan pelan pendidikan lebih holistik, efektif, strategik dan komprehensif kepada ahli kesatuan gabungannya

Beliau berkata, ia bagi memastikan MTUC boleh terus memainkan peranannya yang amat penting dalam melahirkan pekerja dinamik.

Ismail Sabri juga meminta supaya pelan berkenaan diperluas kepada golongan pekerja Keluarga Malaysia yang lain untuk memastikan tidak ada seorang pun ahli keluarga hidup melarat.

"Sebagai badan induk memperjuangkan hak dan nasib pekerja, MTUC juga perlu prihatin terhadap keperluan ahli kesatuan khusus yang tergolong dalam kumpulan B40 dan kelompok miskin tegar.

"Saya memahami keadaan ini kerana asal usul saya dikelilingi dengan kemiskinan.

"Saya dengan rendah hati mengajak semua pemimpin dan ahli kesatuan untuk turut bersama saya menjayakan visi Keluarga Malaysia, sekali gus bersama-sama membangunkan negara tercinta ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan MTUC Ke-42 yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan di sini, hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu melantik wakil MTUC sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya sebagai usaha menambah nilai kepada ketelusan.

Langkah itu katanya, bertujuan membolehkan suara pekerja diambil kira dalam semua keputusan dibuat lembaga pengarah.

"Menjadi harapan kerajaan supaya wakil pekerja berkenaan turut memainkan peranan dalam urusan pentadbiran nanti.

"Golongan pekerja seharusnya sama-sama menjaga kestabilan, perpaduan dan hubungan industri bukan hanya dalam kalangan pekerja tetapi juga kerajaan dan majikan bagi kejayaan proses pembangunan negara.

"Kepentingan kaum pekerja dan negara perlu diselaras serta semua sikap tidak bertanggungjawab dikikis kerana ia bukan sahaja menjejaskan kepentingan kaum pekerja, malah turut mengganggu sistem masyarakat dan menghalang usaha mencapai perhubungan industri yang harmoni," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menyarankan kesatuan sekerja, majikan dan kerajaan supaya mengekalkan hubungan baik agar dapat terus memacu kemajuan demi kemakmuran negara.

Beliau juga berterima kasih kepada golongan pekerja yang banyak menyumbang kepada kemajuan negara bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Golongan pekerja adalah tunjang kepada pembangunan negara dan keperluan mereka sentiasa diberi perhatian

oleh kerajaan," katanya.

Berita Harian X