Rabu, 29 Jun 2022 | 4:03pm
Najib ketika hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Najib ketika hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

'Bila ada kuasa kena bertanggungjawab, itu baru jantan'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta beberapa pemimpin negara termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi kerjasama dengan memberikan penjelasan mengenai pelbagai isu sepanjang Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri keenam berkata, mereka yang dipilih memimpin rakyat perlu bertanggungjawab kepada kerajaan dan rakyat.

Antara isu yang dibangkitkan Najib dan memerlukan penjelasan Dr Mahathir serta bekas Peguam Negara, Tommy Thomas adalah Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia dan pertikaian mengenai Batu Puteh serta kes mahkamah pemimpin PH.

"Perangai atok (Dr Mahathir) sebiji dengan si Tommy. Enggan beri kerjasama kepada kerajaan hari ini.

"Malah, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pun mereka tak hormat. Seperti laporan polis yang merupakan arahan RCI BNM ditarik balik oleh kerajaan PH dan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut ketika Atok adalah PM dan Tommy peguam negara," katanya menerusi Facebook.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan beliau tidak akan bekerjasama dalam siasatan menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selagi Tan Sri Mohamed Apandi Ali masih kekal sebagai pengerusi pasukan petugas khas berkenaan.

Dr Mahathir berkata, beliau hanya sedia menjawab segala persoalan sekiranya Apandi ditukar dan pihak ketiga yang tidak mempunyai kepentingan dibawa masuk dalam siasatan.

Sementara itu Najib berkata, ketika ini beberapa kes berprofil tinggi sedemikian turut kekal menjadi misteri sehingga ada yang digugurkan begitu sahaja, berbanding dengan kes mahkamah yang sedang dihadapinya ketika ini.

"Jika begini, misteri kes kehilangan Batu Puteh, kes-kes mahkamah ke atas pemimpin PH digugurkan begitu sahaja, kes-kes pendakwaan terpilih dan kenapa hakim baharu yang langsung tiada pengalaman kes jenayah boleh pula tiba-tiba dipindah ke mahkamah jenayah untuk ganti hakim bagi kes paling berprofil tinggi saya biarpun perbicaraan sudah bermula akan tetap menjadi misteri.

"Seperti skandal dana BNM sebanyak RM33 bilion (bersamaan dengan nilai kini RM200 bilion) yang lesap begitu sahaja tanpa satu sen pernah dikembali dan tiada seorang pun yang pernah bertanggung jawab atas kehilangannya.

"Sekiranya pernah diberi tampuk kuasa, korang (anda semua) perlu bertanggung jawab dan menjelaskan pada negara dan Rakyat. Itu baru jantan," katanya.

Berita Harian X