Selasa, 28 Jun 2022 | 11:57pm
Sayur dari Kebun-kebun Bangsar diagihkan kepada orang miskin. Foto hiasan NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Sayur dari Kebun-kebun Bangsar diagihkan kepada orang miskin. Foto hiasan NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Kebun-kebun Bangsar mohon semula lesen

KUALA LUMPUR: Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar akan memohon semula Lesen Pendudukan Sementara, bagi maksud nurseri kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Pengerusi Kelab Kebun Bandar, Ng Seksan, berkata pihaknya mahu kerja komuniti yang dilakukan di kawasan tanah milik kerajaan itu sah, berikutan ia dilaksanakan bagi tujuan penjagaan ekosistem, kepelbagaian bio dan pendidikan kepada anak muda.

"Kita ada memohon Lesen Pendudukan Sementara pada 2020, namun tidak diluluskan, tiga bulan lalu.

"Kita akan membuat permohonan semula dan kita mahu bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya dibenarkan untuk terus melakukan kerja kebun di sini kerana kita bukan mencuri," katanya kepada BH, di sini.

Sebelum ini, tular di laman sosial berhubung notis pemberitahuan mengosongkan tapak di Lorong Bukit Pantai 4, di Bangsar yang dibangunkan projek pertanian.

Susulan itu, Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Yasir menjelaskan berlaku pelanggaran syarat Lesen Pendudukan Sementara bagi maksud nurseri di kebun itu sehingga menyebabkan notis pengosongan terpaksa dikeluarkan.

Muhammad Yasir dilaporkan berkata, kebun terbabit memelihara pelbagai binatang ternakan seperti ayam, itik dan biri-biri sekali gus menimbulkan isu membabitkan pencemaran bau, lalat serta gangguan bunyi yang menjadi punca utama tindakan penguatkuasaan.

Seksan berkata, projek komuniti itu dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 3.2 hektar membabitkan tanaman pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran antaranya betik, pisang, kobis, cili, bendi dan terung.

Beliau berkata, kawasan yang menempatkan kira-kira 30 pelbagai jenis spesis haiwan dan serangga itu juga dilaksanakan bukan bagi maksud keuntungan tetapi bagi tujuan pendidikan, membina ekosistem dan membantu masyarakat miskin.

"Setiap minggu kita dapat menghasilkan 20 kilogram sayur-sayuran yang diagihkan kepada orang miskin dan pelarian.

"Kita turut mempunyai hingga 500 ahli sukarela, termasuk 40 yang aktif dalam mengendalikan projek terbabit,"katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga hairan berikutan antara alasan pengosongan dibuat berikutan aduan daripada penduduk, sedangkan projek itu mendapat sokongan daripada kejiranan.

Katanya, ekoran notis pengosongan itu mereka terpaksa memberhenti sementara kerja yang biasa dilakukan.

Berita Harian X