Selasa, 28 Jun 2022 | 3:06pm
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir di Kompleks Mahkamah KL untuk menghadiri prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir di Kompleks Mahkamah KL untuk menghadiri prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

'Kubur saya akan dibanjiri kencing ahli UMNO'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau menyatakan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kuburnya akan banjir keesokannya, jika beliau keluar daripada UMNO untuk menyertai parti BERSATU.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu dinyatakan beliau kepada Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri yang dilantik semula dalam satu perjumpaan empat mata selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Jun 2018.

"Saya menolak (permintaan Dr Mahathir) untuk membubarkan UMNO. Saya katakan padanya (Dr Mahathir), ditakdirkan saya menyertai BERSATU selepas diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai Presiden, esoknya (apabila) saya mati, kubur saya akan banjir," katanya ketika membela diri terhadap tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan haram dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Ketika disoal peguam belanya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal mengapa kuburnya akan banjir, Ahmad Zahid menjawab: "Ada 3.8 juta ahli UMNO akan datang ke kubur saya dan kencing atas kubur saya sebab itu akan banjir," katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO itu berkata, dalam perjumpaan terbabit, Dr Mahathir memintanya membubarkan UMNO dan meminta semua ahli parti menyertai BERSATU atas nama Melayu.

Katanya, Dr Mahathir menyuruhnya melupakan UMNO yang disifatkan oleh bekas Perdana Menteri itu sudah terlalu kotor.

Berita Harian X